KPM mohon pertimbang sesi persekolahan dibuka lebih awal

KPM mohon pertimbang sesi persekolahan dibuka lebih awal

KPM mohon pertimbang sesi persekolahan dibuka lebih awal. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memohon kerajaan membuka sesi persekolahan lebih awal kepada pelajar kelas peperiksaan sebaik proses vaksinasi kumpulan itu selesai.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin berkata, berdasarkan pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini, sesi persekolahan akan dibuka dalam fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Walau bagaimanapun, keputusan berhubung pembukaan sekolah adalah berdasarkan nilai ambang yang sudah digariskan dalam PPN.

Beliau berkata, KPM akan memohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan pembukaan lebih awal sekiranya pelajar kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima suntikan vaksin lebih awal daripada waktu sasarannya.

“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan meneliti kaedah proses ini dilaksanakan untuk mempercepatkan kadar vaksinasi dalam kalangan pelajar kelas peperiksaan.

“KPM akan memberikan sepenuhnya bantuan dari segi fasiliti dan kemudahan lain yang diperlukan kerana mahu pelajar yang sudah menerima vaksin dapat kembali ke sekolah dan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan baik.

KPM mohon pertimbang membuka sesi persekolahan

“Selain pelajar, vaksinasi ini juga akan memberikan keutamaan kepada guru kelas peperiksaan,” katanya dalam Wawancara Pelan Pemulihan Negara KPM, di sini, semalam.

Untuk rekod, terdapat 357,00 pelajar dan 47,000 guru tingkatan lima seluruh negara.

Setakat ini, seramai 148,580 guru seluruh negara sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, bekalan vaksin yang diterima Malaysia menjadi cabaran utama program vaksinasi untuk membolehkan golongan sasar menerima suntikan secepat mungkin.

Katanya, sebaik pelajar dan guru kelas peperiksaan ini selesai, program vaksinasi pelajar akan diperluaskan kepada pelajar lain supaya sesi persekolahan dapat diteruskan.

Dalam pada itu, Radzi berkata, KPM sudah merangka beberapa strategi yang akan digunakan sebaik sesi persekolahan akan dibuka kelak.

Menurutnya, pendekatan itu sudah diperhalusi, namun pelaksanaannya kelak bergantung kepada situasi terkini Covid-19 di Malaysia.

“KPM sudah merangka strategi dan pendekatan yang lebih baik dari segi prosedur operasi standard (SOP) agar sesi persekolahan yang akan dibuka nanti lebih selamat.

“SOP berkenaan akan diumumkan kelak mengikut kesesuaian keadaan terkini pada waktu itu kerana Covid-19 sesuatu yang sentiasa berubah,” katanya.

Beliau berkata, kesihatan mental dan psikologi pelajar juga menjadi keutamaan KPM khususnya sepanjang sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijalankan.

Katanya, sesi kaunseling akan diberikan pada bila-bila masa kerana mahu pelajar terus mendapat sokongan dalam konteks kesihatan mental.

“Semua sekolah sudah dimaklumkan mengenai psikologi mental murid dan guru agar diberi keutamaan,” katanya.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/721448/kpm-mohon-dipertimbang