KPI kayu pengukur rakyat terhadap prestasi kerajaan PH

Semua peringkat kepimpinan negeri di Melaka perlu memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahun ini dapat dicapai bagi memenuhi harapan rakyat yang meletakkan KPI sebagai kayu pengukur terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata KPI merupakan kunci penting terhadap penilaian kepimpinan di setiap peringkat kerana ia akan memberi kesan menyeluruh terhadap sistem kemasyarakatan di negeri ini selain memastikan pengurusan dan pentadbiran sedia ada berjalan lancar.

“Setiap penjawat awam atau pemimpin sama ada di peringkat rendah atau tinggi mempunyai peranan masing-masing untuk dilaksanakan bagi mencapai KPI yang telah ditetapkan.

“Kalau di sesuatu peringkat tidak melaksanakan skop kerja atau peranan mereka dengan sebaiknya, ia bukan sahaja memberi kesan kepada sistem kerajaan negeri malah terhadap sistem kemasyarakatan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Katanya peringatan untuk memastikan KPI yang ditetapkan akan dilakukan secara berterusan kerana ia melibatkan usaha dan komitmen konsisten daripada semua pihak terlibat dan bukannya boleh dicapai dalam tempoh yang singkat.

Adly berkata kerajaan negeri juga akan memberi fokus utama terhadap pembangunan negeri secara menyeluruh kerana ia akan memberi kesan kepada pendapatan negeri menerusi kutipan cukai.

Katanya semua projek pembangunan yang telah dirancang di negeri ini perlu dilaksanakan segera agar ia dapat memberi impak positif bukan sahaja kepada kemajuan negeri malah sektor ekonomi.

“Saya meminta supaya penjawat awam di negeri ini memberi keutamaan kepada pembangunan negeri berbanding kutipan hasil kerana ia hanya boleh dikutip sekiranya pembangunan berjaya dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang belum dilaksana di negeri itu tidak akan diteruskan ekoran kekangan kewangan yang dihadapi Perbadanan PR1MA Malaysia, bagaimanapun projek yang telah dilaksanakan pembinaannya akan diteruskan sehingga selesai.

“Keputusan ini bagaimanapun tidak akan memberi kesan kepada rakyat untuk memiliki rumah kerana kita di peringkat kerajaan negeri mempunyai perancangan sendiri seperti pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” katanya.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 19,000 unit RMM sedang dibangunkan di Melaka daripada jumlah keseluruhan 48,000 unit dalam tempoh lima tahun ini.

Katanya bagi PPRT pula, kerajaan negeri bercadang membangunkan PPRT di tapak PR1MA yang tidak akan diteruskan pelaksanaannya namun ia bergantung kepada persetujuan kerajaan persekutuan.