Kongres anti Jawi: Dong Zong perlu hormati keputusan mahkamah, elak cetus isu perkauman

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Datuk Dr Hasan Baharom mengingatkan agar Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menghormati keputusan mahkamah yang membenarkan tulisan Jawi diajar di sekolah-sekolah kebangsaan termasuk sekolah Cina dan Tamil.

Beliau turut menasihati Dong Zong  agar tidak meneruskan hasrat menganjurkan kongres bantahan yang sebenarnya membangkitkan lagi isu perkauman di negara ini.

Menurutnya, ruang perbincangan dan rundingan terbuka bersama pihak kerajaan seharusnya digunakan dengan baik oleh persatuan tersebut selaras dengan demokrasi yang diamalkan dalam negara.

“Bagi saya, kita hormat sajalah keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah dan juga Kementerian Pendidikan.

“Kita ada saluran yang patutnya kita boleh kemukakan berdasarkan sistem perbincangan kita yang terbuka untuk kita menerima pandangan dan teguran.

“Jangan kita hangatkan dengan perkara yang boleh menyebabkan isu perkauman dan agama semakin membara yang boleh menyebabkan sensitiviti kaum dipergunakan oleh orang lain,” katanya ketika di hubungi Malaysia Dateline hari ini.

Walau bagaimanapun, jelasnya, ruang demokrasi yang diamalkan tidak harus disalah guna dengan penganjuran kongres bantahan yang mengajak pertubuhan-pertubuhan Cina yang lain untuk membantah keputusan kerajaan.

Tegasnya, segala keputusan juga perlu dibuat secara rasional, di mana bantahan tersebut tidak wajar diadakan oleh kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri bertolak-ansur dengan mengurangkan sehingga tiga mukasurat sahaja untuk pembelajaran tulisan Jawi.

“Kalau kongres itu secara tertutup dan berbincang dengan rasional, maka bagi saya tidak ada masalah sebab kita pun ada juga menganjurkan program Kongres Maruah Melayu di Shah Alam.

“Kita berbincang soal Melayu. Jadi, mereka mungkin boleh berbincang soal bangsa mereka secara tertutup tentang hubungkaitnya dengan sekolah vernakular tu.

“Berbincanglah secara beradab. Panggil semua pihak untuk kita menyelesaikan masalah ini. Kalau begitu, tidak ada masalah sebab kita memang digalakkan begitu.

“Tapi kalau kita menimbulkan isu yang boleh menyebabkan isu bangsa dan agama dipermainkan orang lain untuk menjarakkan hubungan kita, itu tidak rasional,” tegas Ahli Parlimen Tampin itu lagi.

Berita Asal https://malaysiadateline.com/kongres-anti-jawi-dong-zong-perlu-hormati-keputusan-mahkamah-elak-cetus-isu-perkauman/