Kompaun Rm10,000 : SOP cacamarba, penguatkuasaan ‘dua darjat’ bakal menyusahkan rakyat

Kompaun Rm10,000 : SOP cacamarba, penguatkuasaan ‘dua darjat’ bakal menyusahkan rakyat

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional meneliti pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang diwartakan semalam, antara lain menetapkan kompaun untuk kesalahan di bawah Akta itu dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan RM50,000 bagi syarikat, berbanding kompaun maksimum RM1,000 sebelum ini.

Dalam keadaan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dikuatkuasakan secara ketat ke atas rakyat biasa sementara para VIP dan ahli politik PN sendiri berkali-kali terlepas daripada penguatkuasaan kompaun akibat pelanggaran SOP, kami membantah keras tindakan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) menggunakan kuasa darurat untuk meningkatkan jumlah kompaun dan mengenakan hukuman lebih tegas kepada individu yang melanggar sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Penguatkuasaan undang-undang bersifat ‘dua darjat’ ini, ditambah pula dengan kekaburan SOP yang caca marba, sering bertukar-tukar dan tidak jelas, bukan sahaja mengelirukan rakyat malah penguatkuasa seperti PDRM sendiri sekaligus mencetuskan kebimbangan jika kompaun akan dikenakan tanpa asas perundangan kukuh dan tanpa pertimbangan kemanusiaan di kala kegagalan kerajaan mengawal pandemik terus-terusan membelit ekonomi rakyat.

Lalu apakah jaminan kerajaan bahawa pindaan kompaun ini akan dapat dikuatkuasakan dengan saksama ke atas semua pihak yang melanggar SOP tanpa perkiraan politik, darjat atau pangkat? Sejauh manakah peningkatan jumlah kompaun serta tindakan tegas ini mampu mengekang penularan wabak, di saat langkah-langkah pencegahan lain seperti saringan massa tidak dilaksanakan dengan sewajarnya.

Tanpa menidakkan keperluan mengawal penularan wabak ini, kami turut berpandangan nilai RM10,000 bagi kompaun maksimum individu adalah keterlaluan dan amat menekan rakyat bagi kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan rentas daerah/negeri tanpa kebenaran, malah hukuman sebegini dilihat tidak berasakan sains mahupun polisi kesihatan awam efektif yang seharusnya memfokuskan saring dan jejak ( test and trace ), bukannya dengan menghukum rakyat yang sudah sedia terbeban kini.

Malah kami menegaskan akauntabiliti dan pertanggungjawaban atas kegagalan mengekang penularan Covid-19 ini; dengan hampir 300 ribu kes positif, kematian lebih 1 ribu nyawa, pertambahan beban kepada sistem kesihatan negara dan tekanan kepada barisan hadapan negara sepanjang setahun pentadbiran PN; seharusnya dipertanggungjawabkan kepada pentadbiran PN hari ini, dan BUKANnya rakyat, atas keputusan-keputusan bermotif politik, pelanggaran SOP mahupun SOP-SOP yang ‘mesra ahli politik PN’ sekaligus menyebabkan pertambahan bilangan kes.

Kami juga menzahirkan kebimbangan pindaan Akta ini yang membolehkan pegawai diberikan kuasa penyiasatan akan mencetuskan kemungkinan penyalahgunaan kuasa dan prosedur kerana waran tangkap tidak diperlukan bagi pegawai membuat tangkapan. Pindaan ini jelas mencabuli hak seseorang yang disiasat dan ditangkap polis wajib diberitahu alasan tangkapan beserta waran.

Pindaan Akta melalui kuasa Ordinan Darurat di bawah Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan tanpa melalui proses pembentangan, perbahasan dan kelulusan Parlimen seperti inilah yang menjadi asbab utama bantahan ke atas pengisytiharan darurat, kerana telah menafikan hak dan suara rakyat untuk memastikan langkah pengawalan wabak adalah selari dengan pertimbangan-pertimbangan sains dan kemanusiaan yang sewajarnya dapat dibahaskan dan diperhalusi secara tuntas di Parlimen.

Malah tindakan meluaskan kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan yang diberikan kepada pihak berkuasa merupakan tindakan yang bertentangan dengan kebebasan asasi dan hak-hak tahanan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, kami menggesa moratorium serta-merta akan pelaksanaan kompaun maksimum RM10,000 (individu) dan RM50,000 (syarikat) yang akan mula berkuatkuasa 11 Mac 2021 ini sementara sidang Parlimen dipanggil untuk mengkaji, membahas dan memperhalusi pindaan baharu yang lebih bertepatan dengan keperluan semasa pengawalan wabak. Pentadbiran PN tidak wajar dibiarkan lepas tangan menyalahgunakan kuasa darurat untuk terus menekan rakyat.

SORAYA SALIM
Setiausaha
Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN)
Parti Amanah Negara

Sumber :