Kluster tempat kerja terus mendominasi kes Covid-19 di Malaysia

Kluster tempat kerja terus mendominasi kes Covid-19 di Malaysia

Sejak berbulan lamanya, kluster tempat kerja terus mendominasi jumlah kluster harian Covid-19 setiap hari.

Sehingga Ahad lalu, 2,338 kluster direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan majoritinya adalah kluster tempat kerja.

Ternyata, kluster tempat kerja berpotensi menjadi parah dan menyukarkan usaha kerajaan dan rakyat Malaysia yang ‘berperang’ menentang pandemik ini.

Daripada keseluruhan kluster tempat kerja, sebahagiannya disumbangkan daripada sektor perkilangan.

Data KKM menunjukkan 10 daripada 18 kluster tempat kerja yang direkodkan kelmarin adalah dari sektor perkilangan.

Ketika kerajaan melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) masih ada kilang didapati beroperasi dengan membuat deklarasi palsu menerusi Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang ditadbir oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ia dikuatkan lagi dengan serbuan dan pemeriksaan mengejut pihak berkuasa di kilang yang masih beroperasi walaupun bukan dikategorikan sebagai sektor ekonomi penting sepanjang SPP dilaksanakan.

Lebih membimbangkan, Covid-19 dijangkiti ditempatkan kerja akan ‘berpindah’ ke dalam komuniti seterusnya menyebar luas jangkitan dalam masyarakat.

Keadaan ini mendorong kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan hampir setiap hari pasti ada pertambahan lokaliti baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dipetik berkata, kerajaan perlu membuat keputusan memastikan kehidupan dan kesihatan rakyat dalam diseimbangkan ketika pandemik masih belum berkesudahan.

Untuk tempoh 1 Jun hingga kini, jumlah kes masih belum dilihat menunjukkan penurunan memberangsangkan walaupun SPP sudah dilaksanakan untuk tempoh sama.

Merunsingkan jika SPP ini diteruskan lebih lama kerana ia bakal meranapkan sumber pendapatan golongan berpendapatan sederhana dan rendah selain peniaga kecil yang poketnya semakin ‘menipis’.

Rakyat, pemain ekonomi dan pemerintah perlu bersatu hati mendepani SPP supaya Malaysia dapat bangkit pasca Covid-19 dengan lebih cepat selain mampu mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/714970/kluster-tempat-kerja-dominasi-jumlah-kluster-harian