Kluster Tarawih dikesan di Johor, kata exco

Kluster Tarawih dikesan di Johor, kata exco

Kes indeks bagi satu kluster baharu di negeri ini dikesan daripada kekerapan menghadiri aktiviti berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih di sebuah surau di Jalan Impian Emas 17 di sini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan.

Beliau berkata, kes pertama untuk kluster komuniti itu dikesan melalui saringan bergejala pada 21 April lalu dan susulan itu saringan kontrak rapat telah dijalankan.

“Saringan membabitkan ahli keluarga, rakan sekerja dan jemaah surau sehingga 2 Mei lalu menyaksikan seramai 252 orang telah disaring, di mana 52 daripada mereka didapati positif dengan tiga kes kematian dilaporkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan.

Vidyananthan berkata, tindakan penutupan surau tersebut telah dijalankan bermula 24 April sehingga 2 Mei.

Katanya, kluster berkenaan masih di dalam pemantauan Jabatan Kesihatan negeri dan dijangka tamat pada 29 Mei sekiranya tiada kes baharu dilaporkan selepas ini.

Dalam perkembangan lain, Vidyananthan berkata, peratus kapasiti penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di negeri itu sudah mencecah 114% setakat ini.

“Berdasarkan statistik 3 Mei, seramai 49 pesakit dirawat di ICU enam hospital berpakar dengan peratus kapasiti penggunaan katil ICU khusus Covid-19 sebanyak 114%,” kata beliau.

Semalam, Johor merekodkan 336 kes harian dan dua kes kematian dengan 275 kes tempatan, 59 kes tahanan (penjara) dan dua kes import, di mana daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 194 kes

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/05/kluster-aktiviti-berbuka-puasa-tarawih-dikesan-di-johor-kata-exco/