KKM minta abang burger kena kompaun RM50K buat rayuan segera

KKM minta abang burger kena kompaun RM50K buat rayuan segera

Kementerian Kesihatan (KKM) meminta peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir yang dikenakan kompaun RM50,000 untuk segera mengemukakan rayuan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya melihat kes itu sebagai satu kes khusus dan perlu ditangani dengan segera.

Katanya, pihaknya amat prihatin dan memandang serius terhadap kes yang mendapat perhatian dan simpati ramai itu.

“Mereka yang dikompaun sentiasa diberikan peluang untuk mendapat keadilan dan dibenarkan untuk mengemukakan rayuan mengikut mekanisme yang disediakan

“Untuk itu, KKM akan membuat penilaian semula mengenai kes peniaga burger itu bagi mempertimbangkan sama ada akan diberikan pengurangan atau pengecualian sekiranya didapati ada asas yang munasabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Adham berkata, tujuan pihaknya menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan kompaun adalah untuk mendidik dan bukan hukuman semata-mata.

“Orang ramai diminta memberikan kerjasama yang tinggi untuk sama-sama melindungi diri, keluarga dan masyarakat serta seterusnya membendung penularan COVID-19,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan peniaga burger, Wan Mohd Faisal, 38, dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.

Dia yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kelantan memaklumkan didatangi beberapa anggota polis ketika menyiapkan tempahan pelanggan jam 11.10 malam, Ahad lalu.

Polis kemudian mengeluarkan kompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/811278/kkm-minta-peniaga-burger-kemuka-rayuan-segera