KKM didakwa henti kongsi data granular kes kematian pula

KKM didakwa henti kongsi data granular kes kematian pula

Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Dr Dzulkefly Ahmad mempersoalkan mengapa Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengongsikan data granular berkenaan kes kematian akibat wabak itu.

Kali terakhir KKM mengongsikan data tersebut kepada awam adalah pada 13 Julai.

“(Saya) benar-benar ingin tahu kenapa KKM dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah tidak lagi kongsi data granular tentang kes kematian.

“KKM, tolong buat yang sepatutnya, ya,” ciapnya hari ini. Ciapan itu turut menandakan akaun KKM dan Noor Hisham.

Bekas menteri kesihatan itu turut melampirkan graf menunjukkan analisis pesakit Covid-19 yang meninggal setiap minggu – daripada 17 April hingga 9 Julai – berdasarkan kumpulan usia.

Dia membangkitkan perkara itu ketika membalas ciapan pakar pediatrik Dr Amar-Singh HSS yang turut bertanyakan perkara sama.

“Tidak tahu mereka meninggal dunia di hospital mana, apa usia mereka dan sebagainya, sejak 14 Julai.

“Usia amat penting untuk memahami wabak yang sentiasa berubah,” katanya.

Sebelum ini, KKM dalam kenyataan hariannya memasukkan maklumat terperinci berkenaan jantina, usia, hospital dan penyakit lain yang dihidapi – jika ada – oleh setiap kes kematian Covid-19.

Bagaimanapun sejak 14 Julai, kes kematian hanya dipecahkan mengikut negeri, dan bilangan mengikut jantina, status kewarganegaraan, sejarah penyakit dan jika mereka meninggal dunia di hospital atau tidak.

Sejumlah pihak beberapa kali menggesa kerajaan agar lebih telus dalam soal data granular Covid-19, antaranya bagi mengelakkan spekulasi dan kebimbangan di kalangan orang ramai.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/583576

BACA JUGA : Muhyiddin sudah melayakkan Ismail Sabri jadi PM, kata veteran Umno