KKM beri jaminan akan pastikan situasi seperti PRN Sabah tidak akan berulang

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan membentangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, esok.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, mesyuarat jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut serta dalam pembentangan SOP tersebut.

“SPR akan membentang SOP bagi PRN Melaka kepada Pengurusan Pandemik Covid-19 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri esok. KKM akan beri ulasan pada mesyuarat yang sama,” katanya dalam sidang media hari ini.

KKM beri jaminan akan pastikan situasi seperti PRN Sabah tidak akan berulang

Khairy berkata, KKM akan memastikan situasi yang berlaku ketika PRN Sabah pada tahun lalu tidak akan berulang ketika PRN Melaka yang akan diadakan pada 20 November depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata peningkatan kes Covid-19 yang tercetus ketika PRN Sabah mungkin disebabkan ketika itu negara sebelum lagi menerima vaksin Covid-19.

“Kita akan memastikan bahawa apa yang berlaku pada PRN Sabah tidak berlaku di Melaka. Di Sabah tempoh hari kita belum ada vaksinasi. Kita buat penilaian risiko berdasarkan kepada vaksinasi.

“Kita juga cuba menerima hakikat bahawa ketika di Sabah tidak ada penularan Delta (varian). Jadi kita ambil kira semua perkara ini sebelum beri ulasan,” ujarnya.

Terdahulu, SPR mengumumkan PRN Melaka bakal diadakan pada 20 November ini susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu.

Pengumuman itu mencetuskan kebimbangan rakyat berikutan sebelum ini kes Covid-19 naik mendadak selepas PRN Sabah diadakan pada September tahun lalu sehingga mencetuskan gelombang ketiga jangkitan virus tersebut.

BACA JUGA : Panas !!! Pandelela dedah jurulatih kerap buat lawak lucah, terpalit kes rogol ‘dilindungi’