KJ dakwa Anwar cetek pemahaman isu vaksin

KJ dakwa Anwar cetek pemahaman isu vaksin

Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya tidak membuat tuduhan sembarangan dalam isu pemerolehan vaksin untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, sikap Ketua Pembangkang melemparkan tuduhan terhadapnya dan kerajaan adalah bukti Presiden PKR itu cetek pemahamannya dalam isu berkaitan.

Menjawab dakwaan Anwar dalam videonya mengenai harga vaksin dan tindakan kerajaan yang kononnya cuba mengawal tanpa memberi peluang kepada swasta membelinya, Khairy berkata, perkara itu sudah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai kontrak serta butiran pembelian vaksin.

“Harganya juga wajar dan berpatutan dan sekiranya Anwar ada berhubung dengan rakannya di China dengan maklumat tertentu, maka boleh kirimkan kepada jawatankuasa jaminan akses vaksin untuk kita sahkan betul atau tidak.

“Justeru saya agak keliru di sini dengan Anwar yang mempersoalkan harga vaksin, sebab segalanya telah dibentangkan begitu juga harganya kepada PAC.

“Hari itu saya menjemput anda (Anwar) datang ke taklimat PICK untuk semua MP (ahli Parlimen) di mana soalan-soalan terperinci ditanya, tapi Anwar tak datang dan hari ini buat video tular dan lempar tuduhan tak berasas serta palsu.

“ini jelas kecetekan pemahaman Datuk Seri (Anwar),” katanya dalam video khas menjawab dakwaan terhadapnya malam tadi.

Khairy juga menjelaskan, sektor swasta sudah bermula berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk bekerjasama dalam usaha pemberian vaksin.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, apabila kerajaan memulakan vaksinasi fasa ketiga untuk rakyat keseluruhan, vaksinasi itu akan dibuka kepada pihak swasta dan ini akan dipercepatkan dengan kerjasama syarikat-syarikat besar yang akan terlibat.

“Perkara ini sudah berada dalam rancangan kita tapi sebelum itu kita nak selesaikan dulu vaksinasi untuk warga emas dan golongan OKU dan pada Jun nanti kadar vaksin akan meningkat mempercepatkan pemberiannya,” katanya.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2021/05/21/tak-hadir-taklimat-buat-tuduhan-bukti-anwar-cetek-pemahaman-isu-vaksin-kj/