Kisah Aku, Tibi dan Tok Guru Nik Aziz…

Kisah Aku, Tibi dan Tok Guru Nik Aziz…

‪Pada 1985 isteri aku hamil beberapa bulan. Sewaktu hamil itu, dia disyaki dijangkiti penyakit Tibi, dan dirawat. Setiap hari dia disuntik ubat. Kemudian pula dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana tak merasa selesa dalam perutnya.‬

‪Setelah menjalani pemeriksaan, tiga doktor pakar HKL berpendapat wajar digugurkan kandungan kerana dibimbangi akan berlaku komplikasi ke atas kandungan. Sebagai kakitangan mikrobiologi di sebuah klinik Kementerian Kesihatan, isteri aku akur dengan cadangan dan dapatan pakar-pakar tersebut, tapi memerlukan persetujuan aku sebagai suami.‬

‪Aku dihubungi isteri, lantas bergegas ke hospital. Aku temui doktor-doktor pakar tersebut yang semuanya Melayu dan Muslim. Mereka berikan keterangan mengenai dapatan pemeriksaan ke atas isteri aku, dan mencadangkan aku tandatangani borang pengesahan bagi mempersetujui pembedahan untuk tujuan menggugurkan kandungan.‬

‪Aku tak terus tandatanganinya, malah mohon penangguhan kerana aku berpendapat aku perlu merujuk pandangan ulama mengenai cadangan pengguguran kandungan itu. Mereka setuju menangguhkan pembedahan, tapi mesti dalam tempoh tak lewat daripada 48 jam.‬

‪Dalam tempoh itu, aku temui tiga ustaz yang semuanya merupakan anggota Majlis Syura Ulama PAS Pusat. Aku temui tiap satu secara berasingan bagi mendapat pandangan.‬

‪Orang pertama yang aku rujuk ialah Ustaz Haji Mohd Nakhaie Ahmad. Ketika itu dia Naib Presiden PAS. Aku kenalinya lama sejak aku menuntut di Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam, pada 1970an dan dia penasihat agama di ITM. Malah, semasa aku anggota ABIM, dia menjadi naqib dalam usrah yang dipimpinnya pada setiap hari Selasa.‬

‪Setelah aku bentangkan masalah kepadanya, dia berpendapat bahawa kandungan isteri aku itu boleh digugurkan. Katanya, kandungan itu belum sempurna sifatnya kerana, setelah aku memberitahu, ia belum bernyawa. Maka tidak terhukum sebagai menyalahi syarak. Ertinya, isteri aku boleh menjalani pembedahan untuk menggugurkan kandungan.‬

‪Kemudian, aku mendatangi Ustaz Haji Hassan Shukri. Dia Setiausaha Agung PAS. Dia bertaraf majikan kepada aku kerana aku bertugas di Ibupejabat Agung PAS. Setelah menerangkan masalah kepadanya, dia sependapat dengan Ustaz Nakhaie Ahmad.‬

‪Ustaz terakhir aku rujuk ialah Tuan Guru Nik Abdul Nik Mat. Kami bertemu di Ibupejabat Agong PAS. Aku sering temuinya di pejabat parti kerana dia ahli Dewan Rakyat Pengkalan Chepa ketika itu, dan kerap ke pejabat parti. ‬

‪Aku memberitahu Tuan Guru Nik Aziz mengenai cadangan tiga doktor pakar Muslim HKL mengenai keperluan menggugurkan kandungan isteri aku itu. Aku juga memberitahu mengenai pendapat menggugurkan kandungan menurut pandangan Ustaz Nakhaie Ahmad dan Ustaz Hassan Shukri, yang kedua-dua anggota Majlis Syura Ulama PAS.‬

‪Pendekatan Tuan Guru Nik Aziz amat berbeza dari Ustaz Nakhaie dan Ustaz Hassan. Ternyata dia lebih teliti. Aku butirkan intipati pertanyaan dan pandangannya.‬

‪Nik Aziz bertanyakan aku, apa penyakit isteri mu? Aku jawab, Tibi.‬

‪Dia bertanya aku, apakah aku sudah merujuk masalah kandungan itu kepada pakar Tibi? Aku jawab, tidak.‬

‪Tuan Guru sarankan aku pergi berjumpa dan bertanyakan pendapat pakar Tibi. Dia minta rujuk dulu pakar Tibi untuk ketahui, sejauhmana kesan rawatan, suntikan dan ubatan Tibi kepada wanita yang mengandung. Selepas itu, maklumkan pendapat pakar Tibi itu kepadanya.‬

‪Aku segera ke Pusat Tibi Negara (kini dikenali Institut Perubatan Respiratori) yang terletak berdekatan Ibupejabat Agong PAS di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Di situ, aku dapat temui pengarahnya, seorang Sikh berlilit serban dan membentangkan masalah.‬

‪Setelah aku bertanya, pengarah Pusat Tibi berbangsa Sikh itu menerangkan mengenai status dan data terperinci mengenai penerima rawatan perubatan penyakit Tibi. Dia tegaskan, kes deformasi atau kematian kandungan kerana rawatan Tibi adalah “one in a million”. ‬

‪Setelah selesai berurusan, aku kembali menemui Tuan Guru Nik Aziz dan menyampaikan maklumat yang diterangkan oleh pengarah berbangsa Sikh di Pusat Tibi Negara.‬

‪Selesai mendengarnya, Tuan Guru Nik Aziz merumuskan pendapatnya bahawa, antara cadangan pengguguran kandungan oleh tiga doktor pakar HKL dan keterangan data pengarah berbangsa Sikh dari Pusat Perubatan Tibi, dia lebih cenderung berpegang kepada pendapat pengarah Tibi.‬

‪Nik Aziz berpendapat, walaupun pengarah Tibi itu berbangsa Sikh, dia seorang yang bermaklumat, berpengalaman dan miliki kepakaran dalam bidangnya berkaitan maudhuk masalah yang berbangkit. Berdasarkan keterangan, pendapat pengarah Sikh itu lebih mengatasi pendapat doktor pakar Muslim dari HKL.‬

‪Kata Tuan Guru Nik Aziz, apa masalah pun kita harus kembali kepada punca yang menyebabkan masalah, bermula dari punca itu kita akan mudah menyelesaikan masalah tersebut.‬

‪Nik Aziz akhirnya menyimpulkan, tak usah ikut pendapat doktor pakar Muslim HKL itu kerana mereka bukan pakar Tibi, sebaliknya pengarah Sikh itu yang pakar mengenainya. ‬

‪Walaupun pendapat itu dari bukan Islam, akan tetapi kerana ia bermaklumat benar maka kita pegang pendapatnya, kata Nik Aziz.‬

‪Dengan berpandukan nasihat Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, aku menolak dan membatalkan cadangan pembedahan doktor pakar HKL ke atas isteri aku.‬

‪Masa berlalu, dan sampai waktunya isteri aku selamat melahirkan anak pertama kami. Bayi itu sihat, seorang perempuan yang kami namakannya Fatimah Zahra.‬

‪Fatimah Zahra kemudiannya berjaya lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM. Dia menjadi pelajar terbaik seluruh negeri Pulau Pinang dan mendapat anugerah khas dari Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan ketika itu.‬

‪Terima kasih, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menasihatkan aku agar hidup berpegang kepada kebenaran, bukannya bersandarkan dalil perkauman.‬

Sumber : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2535104373369729&id=100006105734896