Kilang Porsche di Kulim berkapasiti kecil bakal beroperasi 2022

Porsche dilihat semakin komited untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran dan kejuruteraannya di peringkat global. Perkembangan itu turut melibatkan operasi kilang pemasangan tempatan di Kulim, Kedah yang dijadual bermula pada tahun 2022 hasil kerjasama dengan Sime Darby Berhad.

Sebagai negara pertama yang akan mempunyai kilang Porsche di rantau ASEAN, Malaysia jelas menawarkan peluang perniagaan dan landskap automotif yang mantap. Namun, harus tahu bahawa kilang pemasangan pertama di luar Jerman itu merupakan fasiliti berskala kecil dan hanya akan memenuhi keperluan pasaran tempatan sahaja menerusi beberapa model spesifik.

Kemudahan itu adalah sebahagian daripada pelan Porsche untuk mengukuhkan lagi jenamanya di Asia Tenggara, selain mewujudkan pusat R&D di pasaran terbesarnya iaitu China. Ia akan beroperasi bersama rangkaian produksi Porsche yang sudah ada di Eropah.

Kilang Porsche di Kulim berkapasiti kecil bakal beroperasi 2022

“Kami bertuah kerana hasil perancangan teliti, kilang-kilang sedia ada sudah lebih daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa dan akan datang di peringkat global. Kilang di Malaysia bagaimanapun hanya akan memenuhi kepeluan pasaran tempatan.

“Walaupun kilang ini merupakan satu projek standalone dengan kapasiti dan saiz yang kecil, ia membuktikan kesungguhan kami untuk terus belajar serta menyesuaikan diri terhadap pasaran tempatan,” jelas Ahli Lembaga Eksekutif Pengeluaran dan Logistik Porsche, Albrecht Reimold.

Sejak 10 tahun lalu, Porsche telah memanfaatkan kerjasama dengan Sime Darby Berhad selaku pengedar dan pengimport eksklusif kereta sports keluarannya. Kerjasama itu terbukti apabila penyerahan kereta meningkat sebanyak sembilan peratus pada 2022 dan jumlah peminat Porsche di Malaysa semakin ramai.

“Malaysia dan rantau ASEAN menyediakan potensi terbaik. Kami tidak sabar untuk menawarkan model pemasangan tempatan pertama kepada pelanggan di Malaysia pada tahun hadapan. Ketika Porsche beralih ke arah era mobiliti baharu, Malaysia dan rantau ASEAN menjadi semakin penting.

“Justeru, langkah ini adalah sebahagian daripada insiatif jangka panjang demi memenuhi keperluan pasaran dan pasaran yang terus berkembang pesat,” kata Ahli Lembaga Eksekutif Jualan dan Pemasaran Porsche, Detlev von Platen.

Selain kilang di Kulim, Porsche juga merancang untuk membina rangkaian pengecasan berprestasi tinggi dengan Shell.

Berita Penuh : https://www.mekanika.com.my/kilang-porsche-di-kulim-dijadual-beroperasi-tahun-2022-penuhi-keperluan-pasaran-domestik-sahaja/

BACA JUGA : Lelaki sanggup langgar, gilis teman wanita sendiri kerana takutkan Polis