Khalid mahu penyokong tumpu kukuhkan kekuatan PH

Khalid mahu penyokong tumpu kukuhkan kekuatan PH

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menasihatkan agar anggota dan penyokong Pakatan Harapan (PH) mengukuhkan kekuatan blok pembangkang itu.

Ahli Parlimen Shah Alam itu menegaskan PH bukan sekadar tentang personaliti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir atau pun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semoga geng PH jangan mengutuk logo dan prestasi sendiri, sebaliknya bina kesatuan dan perpaduan serta nyatakan kelebihan PH.

“PH bukan Tun atau DSAI. PH adalah kita semua yang telah bersatu menjatuhkan BN dan berusaha menghasilkan kerajaan yang bersih,” katanya di Twitter hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap pengguna Twitter, Farhan Zulkefly yang menyangka PH akan menggunakan kesempatan ketika PN sudah ‘nazak’ pada masa ini.

“Kau tahu apa PH buat? Bergaduh nak guna logo apa untuk PRU. Bangang korang ni level apa siot?” tempelaknya.

Ciapan penyokong PH itu turut diakui Khalid apabila berkata, “tepat sekali”.

Kelmarin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nasional, Akmal Nasrullah Md Nasir mencadangkan untuk menggunakan logo PKR bagi mewakili PH dalam PRU15 untuk “mengembalikan keyakinan rakyat”.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata demikian dalam ucapan dasar persidangan tahunan AMK Kongres Nasional Tahunan PKR 2020.

Walau bagaimanapun, Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee Chuan How mempersoalkan cadangan itu sebaliknya memilih logo PH memandangkan blok politik itu bukanlah parti yang diharamkan atau dilarang penggunaan lambangnya.

Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/ph-bukan-tun-atau-anwar-jangan-kutuk-logo-dan-prestasi/