Khairy umum pengamal media dapat vaksin Mei, tapi kini sudah masuk Jun semua masih menanti

Khairy umum pengamal media dapat vaksin Mei, tapi kini sudah masuk Jun semua masih menanti

Pada 28 April lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan kira-kira 1,500 pengamal media akan disuntik vaksin pada bulan Mei.

Namun, hari ini sudah 6 Jun dan kumpulan ini masih belum divaksin.

Kelab Media Putrajaya berkata, walaupun dijanjikan suntikan pada bulan ini namun belum ada jaminan kerana tidak pasti tarikh sebenar.

Menurutnya, rata-rata pengamal media yang bertugas di Putrajaya memang berharap menjadi antara yang terawal menerima vaksin Covid-19.

“Namun selepas seminggu, dua minggu berlalu, Aidilfitri tiba dan akhirnya Mei berakhir, tiada sebarang khabar berita mengenai bila pemberian vaksin kepada petugas media akan dimulakan.

“Lebih membimbangkan, ketika PICK masih berada dalam Fasa Kedua, pelbagai program dan acara menteri dan kementerian yang perlu kami hadiri, kadang kala secara fizikal.

“Malah, jika bukan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, tidak mustahil begitu banyak acara diatur dalam bulan Syawal.

“Mungkin kedengaran kami melebih-lebih berbanding orang lain, tetapi jangan lupa, kudrat dan kreativiti kamilah yang dituntut untuk melaporkan kepentingan menjaga SOP, sentiasa kekal berada di rumah, kebaikan rakyat mendapatkan vaksinasi serta kepentingan mendapatkan imuniti kelompok,” kata kenyataan itu.

Kelab Media Putrajaya menambah, sungguh malang jika petugas media terpaksa mengetepikan keselamatan diri ketika bertugas di lapangan terpaksa menunggu dan merayu untuk diberikan vaksin seperti yang dijanjikan.

“Jangan lupa, antara kami juga sudah berkeluarga atau tinggal bersama-sama keluarga. Dan berbanding kebanyakan sektor, kami juga terpaksa keluar untuk bekerja terutama jurugambar serta jurukamera.

“Jika seorang daripada kami dijangkiti, bukan sekadar satu pejabat terpaksa dikuarantin, malah rakan sejawat dari organisasi lain juga berkemungkinan terpaksa menjalani ujian saringan serta kuarantin.

“Sebelum ini sememangnya penularan dan jangkitan berlaku dalam kalangan petugas media di Putrajaya, Johor Bahru dan beberapa tempat lagi.

“Kami sangat-sangat berharap CITF dan kerajaan serius dalam memberikan pelalian kepada kami supaya kami dapat terus berbakti dan membawa agenda kerajaan mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini,” rayunya lagi.

Kenyataan itu turut menggunakan tanda pagar #vaksinuntukmedia #kamijugabarisanhadapan .

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/06/06/bulan-mei-sudah-pun-berlalu-tapi-pengamal-media-masih-belum-divaksin/