Khairy tidak tolak kemungkinan PRU-15 berlaku pada September

Khairy tidak tolak kemungkinan PRU-15 berlaku  pada September

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermungkinan boleh diadakan seawal September ini, sebaik sahaja separuh daripada populasi negara menerima suntikan vaksin COVID-19.

Bercakap kepada CNA, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk mengadakan PRU-15 sebelum hujung tahun ini.

“Menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kira-kira 50 hingga 60 peratus daripada masyarakat Malaysia akan menerima suntikan dalam tempoh itu, malah Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) turut berasakan keadaan akan terkawal.

“Jadi ia adalah masa yang sesuai untuk mengadakan PRU-15,” katanya di sini, pada Rabu.

Khairy Jamaluddin berkata, kadar keberkesanan vaksin akan turut disokong dengan pemulihan ekonomi.

“Sebagai seorang ahli politik, saya yakin ia akan mengakhiri segala kebuntuan kerana PRU-15 akan dapat dijalankan,” jelasnya.

Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama yang menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Putrajaya.

Selain beliau, antara lain yang menerima suntikan pada fasa pertama hari ini adalah Dr Noor Hisham dan beberapa petugas barisan hadapan.

Berita penuh :https://www.astroawani.com/berita-politik/tidak-mustahil-pru15-september-ini-khairy-jamaluddin-284567