Keutamaan : RUU Guaman Syarie VS RUU 355

Beberapa hari yang lepas, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Akta Guaman Syarie akan dibentangkan dalam sesi sidang Parlimen pada bulan Mac 2018. Pengumuman itu memberikan kejutan kepada ramai pengamal undang-undang Syariah. Ini kerana mereka semua telah menantikan pembentangan rang undang-undang tersebut semenjak berdekad yang lalu.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia melalui Presidennya, Musa Awang telah segera mengeluarkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Datuk Seri Dr Mujahid kerana berusaha untuk membawa RUU Guaman Syarie ini ke Parlimen.

Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, seorang tokoh dalam perundangan undang-undang Syariah di Malaysia menyatakan bahawa RUU Guaman Syarie ini telah dibincangkan semenjak 1984 lagi. Ianya telah mengambil masa yang begitu lama setelah bertukar-tukar Menteri sehinggalah Menteri Pakatan Harapan ini yang benar-benar mempunyai ‘political will’ untuk membawanya ke Parlimen.

Ini adalah satu kejayaan besar buat Datuk Seri Dr Mujahid dan Pakatan Harapan. Warga guaman syarie khasnya para peguam syarie yang selama ini mengeluh kerana profesion mereka tidak diiktiraf secara profesional kini boleh menarik nafas lega.

RUU Guaman Syarie yang akan dibentangkan ini mempunyai implikasi besar kepada peguam syarie. Meskipun RUU Guaman Syarie ini hanya berkuatkuasa di dalam Wilayah Persekutuan sahaja namun ianya bakal menjadi model untuk ditiru atau diikuti oleh negeri-negeri lain.

Sebagaimana yang dimaklumi, bidang kuasa agama Islam adalah terletak dalam bidang kuasa negeri. Bagi negeri-negeri yang mempunyai raja, raja atau sultan negeri berkenaan adalah menjadi Ketua Agama Islam. Oleh itu, RUU Guaman Syarie ini tidak boleh melangkaui bidang kuasa yang ditetapkan dan RUU Guaman Syarie ini tidak sesekali boleh menyamai Akta Profesion Guaman yang mengawal selia para peguam sivil.

Namun, atas semangat yang sama, RUU Guaman Syarie ini bakal melihat era kebebasan kepeguaman syarie kerana RUU Guaman Syarie ini akan meletakkan skop peguam syarie ini di luar bidang kuasa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Ini bermakna para peguam syarie akan boleh bertindak lebih bebas tanpa khuatir dan was-was. Selama ini para peguam syarie khuatir bahawa sijil amalan tahunan guaman syarie mereka mungkin akan disekat kerana terlalu vokal dalam mempertahankan klien mereka.

RUU Guaman Syarie ini bakal mewujudkan struktur yang sama bebas seperti peguam sivil iaitu Badan Peguam Syarie (sama seperti Malaysian Bar) dan Majlis Peguam Syarie (sama seperti Bar Council). Perbezaan antara kedua badan ini hanyalah daripada segi bidangkuasa iaitu Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie hanya terhad dalam negeri masing-masing dan bukannya berada di peringkat Persekutuan sebagaimana Malaysian Bar dan Bar Council. Dalam struktur baharu ini, Badan Peguam Syarie akan mengawal selia profesion peguam syarie tanpa campur tangan langsung daripada Majlis Agama Islam termasuklah daripada segi pengeluaran dan pembaharuan lesen guaman syarie dan tindakan tatatertib.

Sebelum ini, peguam syarie hanyalah dikawal selia melalui Kaedah-Kaedah Peguam Syarie dan melalui kaedah ini, tindakan tatatertib boleh diambil ke atas peguam syarie melalui satu Jawatankuasa Peguam Syarie yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie. Ini boleh menimbulkan kebimbangan kepada peguam syarie untuk bertindak lebih vokal kerana takut mata pencarian atau ‘periuk nasi’ mereka akan disekat.

Ini juga suatu perkembangan yang menarik kerana tindakan Datuk Seri Dr Mujahid dari parti AMANAH ini berbeza daripada tindakan Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang dari parti PAS. PAS yang pernah membawa RUU 355 pada tahun 2015 sehingga 2018 (kira-kira 4 tahun) telah gagal mencapai objektifnya sedangkan tindakan AMANAH ini nampaknya lebih membuahkan hasil meskipun baharu memerintah tidak sampai setahun.

Menariknya, AMANAH tidak membawa RUU 355 sebagai satu keutamaan tetapi memilih RUU Guaman Syarie ini sebagai satu keutamaan. Mesej yang ingin disampaikan ini bahawa AMANAH juga turut ingin melihat syiar umat Islam iaitu Mahkamah Syariah diperkasakan. Sampai masa nanti Menteri AMANAH ini juga akan membawa RUU 355 ke Parlimen.

AMANAH tidak bercakap kosong apabila menggunakan RUU Guaman Syarie ini untuk memperkasakan Mahkamah Syariah kerana peguam syarie adalah salah satu komponen penting dalam struktur Mahkamah Syariah. Perjalanan Mahkamah Syariah adalah tidak sempurna tanpa adanya peguam syarie.

Kesimpulannya, AMANAH adalah sebuah parti yang turut berjuang untuk menegakkan Islam di Malaysia melalui pendekatan rahmah dan lebih berjaya membawa agenda Islam berbanding dengan PAS yang lebih banyak beretorik di medan ceramah.

Sumber : https://malaysiadateline.com/antara-ruu355-dan-ruu-guaman-syarie/

 

CATEGORIES