Ketua Penerangan Umno dakwa hala tuju parti sudah jelas, lawan pengkhianat Umno

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyatakan tiada siapa boleh menyatakan hala tuju UMNO tidak jelas selepas kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh parti itu pada Khamis.

Menurutnya, telah jelas dalam kenyataan itu, dua perkara bahawa tidak timbul parti itu mahu menarik diri daripada kerajaan dan tiada rancangan untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Dua keputusan ini kalau tidak menjernihkan keadaan, ia juga menghilangkan jerebu. Kalau tadi kita bercakap mengenai jerebu, sekarang kita nampak.

“Sama ada kita suka atau tidak suka gambaran itu, soal kedua. Sebab dalam UMNO sudah jelas itu keputusan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” katanya menerusi Program Sembang Santai, Apa Cerita Orang Muda yang disiarkan secara langsung di Facebook Pemuda UMNO Johor Bahru pada Jumaat.

Hadir sama dalam program itu, bekas ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad dan Ahmad Asif Sharudin sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, selepas ini terpulang kepada ahli-ahli UMNO yang menjawat jawatan di peringkat pusat atau cawangan untuk menjayakan atau menggagalkan keputusan berkenaan.

“Sebab keputusan ini adalah keputusan yang memberi satu jalan yang mungkin sukar dan berliku untuk UMNO. Tetapi ini jalan yang kita telah pilih.

“Kalau ini jalan yang kita pilih, kita jayakan jalan ini. Tapi kalau awal-awal kita dah kata jalan ini susah dan kita akan kalah dan sebagainya, maka jangan salahkan orang lain kalau akhirnya kita menemui jalan buntu,” tegasnya.

Menurutnya, dengan masa yang ada, sekiranya tiada perubahan lain, parti UMNO seharusnya membuatkan pilihan yang telah dipilih itu lebih jelas.

“Apa benda yang kita nak bagi cantik? Tawaran (kepada pengundi) kena bagus, muka yang ditawarkan kena betul dan pengisian kita semasa berhujah kena dengan pengundi.

“Daripada kita fikir kenapa kita tidak ikut jalan ini, kenapa tak ikut jalan pintas sebelah sana,” katanya.

Shahril berkata, kemenangan jalan sulit yang dipilih itu juga mungkin lebih manis berbanding kemenangan jalan pintas lain.

Mengulas isu sama, Shahrir pula berkata, parti UMNO seharusnya berani membuat keputusan.

“Kalau kita nak memimpin, kita kena berani. Kalau kita tidak berani siapa nak ikut kita? Orang pun tengok awak tidak berani untuk mengambil risiko,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/127148/BERITA/Politik/Tiada-siapa-boleh-nyata-hala-tuju-UMNO-tidak-jelas

COMMENTS

Wordpress (0)