Ketua Pemuda Pas berkeras tetap akan bersama PPBM walaupun Umno sudah putuskan

Ketua Pemuda Pas berkeras tetap akan bersama PPBM walaupun Umno sudah putuskan

Pemuda Pas menegaskan bahawa agenda perpaduan ummah yang dilaungkan Pas bukan hanya sebagai agenda untuk mendapatkan kuasa semata-mata.

Sebaliknya, Ketuanya, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, usaha murni terhadap penyatuan ummah adalah milik seluruh umat Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini.

“Meskipun UMNO telah meluluskan usul untuk tidak bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan akan menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bila-bila masa sahaja daripada hari ini.

“Kami Pemuda Pas akan terus komited untuk berunding demi agenda perpaduan ummah dalam kalangan anak muda bagi konteks yang lebih besar dan merentasi politik kepartian serta agenda mendapatkan kuasa semata-mata,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menghadapi PRU15 bersendirian dan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO menolak pembentukan gabungan politik bersama PN.

 

Khairil berharap agar keputusan dibuat UMNO dalam PAU 2020 ini tidak akan menjejaskan Muafakat Nasional iaitu Pas dan UMNO serta tidaklah pula menjadi salah satu penghalang kepada agenda perpaduan ummah yang diperjuangkan Pas khususnya bersama Bersatu melalui PN serta badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh individu (NGI) yang lain.

Beliau turut mengiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ke PAU 2020 pada Ahad selepas menerima jemputan UMNO.

“Kehadiran kami adalah bukti bahawa kami serius memelihara hubungan Pas-UMNO yang telah terjalin melalui Muafakat Nasional,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/130850/BERITA/Politik/Muafakat-Nasional-PN-bukan-agenda-dapat-kuasa-semata-mata