Kes SRC : Pendakwa kata Najib terdesak guna alasan “derma arab”

Kes SRC : Pendakwa kata Najib terdesak guna alasan “derma arab”

Mahkamah Rayuan di Putrajaya diberitahu bahawa pembelaan Najib Razak yang mendakwa menerima sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi adalah pembelaan ‘terdesak’.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) V Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Menurutnya, ini kerana terdapat percanggahan dalam keterangan saksi pembelaan mengenai tuntutan tersebut berhubung janji raja Arab Saudi, ketika itu, Raja Abdullah yang dikatakan telah mengikrarkan bantuan kewangan kepada Najib pada Januari 2010.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bekas duta besar Malaysia ke Arab Saudi, Syed Omar al-Saggaf: bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom: dan bekas menteri luar Anifah Aman, telah memberi keterangan sebagai saksi pembelaan Najib.

Ketiga-tiga mereka adalah sebahagian daripada delegasi Malaysia yang diketuai oleh Najib ke Arab Saudi pada Januari 2010.

Pembelaan Najib bergantung kepada dakwaan bahawa Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi mengikrarkan sokongan kewangan semasa pertemuan peribadi dengan Najib di Riyadh, Arab Saudi, pada Januari 2010. Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikaitkan dengan 1MDB didakwa membantu mengatur mesyuarat berkenaan.

DPP itu berkata, bahawa keterangan Najib mengenai derma Arab bertentangan dengan keterangan yang diberikan oleh saksi pembelaan Jamil berhubung perkara yang sama.

Sithambaram berkata bahawa Najib memberi keterangan bahawa Low memberitahu bekas perdana menteri itu pada pertengahan tahun 2010 tentang persetujuan Raja Abdullah untuk memberi sokongan kewangan, tetapi Jamil pula memberi keterangan bahawa Almarhum Raja Abdullah membuat janji itu pada pertemuan Januari, tahun yang sama.

“Ini menunjukkan pembelaan terdesak (Najib) untuk mencari pembelaan yang boleh dipercayai, tetapi ia (dakwaan derma Arab) menjadi lebih luar biasa,” kata DPP.

Berita Penuh :https://m.malaysiakini.com/news/571554