Kes penyelewengan dana oleh Najib ‘wakeup-call’ untuk Malaysia – Mat Sabu

Kes penyelewengan dana oleh Najib ‘wakeup-call’ untuk Malaysia . Keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjadi penanda aras bagi pihak berkuasa untuk terus mengekang jenayah penyelewengan dana walaupun ia melibatkan golongan yang kelihatan ‘baik’ pada rakyat.

Di Parlimen hari ini, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, partinya berpuas hati dengan keputusan pihak mahkamah yang sekali lagi telah membuktikan Najib sebagai individu yang bersalah.

Memetik laporan Utusan Online “Apa yang berlaku pada bekas Perdana Menteri itu hanya satu cebisan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu lebih aktif manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lebih berani mengambil tindakan seperti yang didedahkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador tentang rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam kalangan ahli politik, penjawat awam dan termasuk golongan ‘lebai’.

Mat Sabu

“Kedaulatan undang-undang ini perlu dipertingkat untuk memberi keyakinan kepada rakyat dan masyarakat dunia bahawa Malaysia adalah negara berwibawa dan ditadbir mengikut undang-undang seperti dulu yang telah menjadikan Malaysia sebagai negara yang dihormati kerana kedaulatan undang-undangnya,” katanya.

Semalam, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kes dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta terhadap Najib.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohamad juga menegaskan, kepentingan badan-badan berkaitan kerajaan untuk menjadi lebih tegas.

“Pendedahkan Abdul Hamid sebelum beliau bersara juga perlu kita pandang penting. Beliau adalah bekas ketua polis jadi tentu apa yang disebut beliau berasas dan wajar untuk disiasat.

“Kita memang sedang fokus pada Najib namun begitu, terdapat individu lain yang turut melakukan perkara sedemikan terus berasa lapang. Ini adalah bidang kuasa SPRM untuk menyiasat kerana kita tidak mempunyai bukti,” katanya.

BACA: Penolong pegawai perubatan kantoi rasuah dalam urus jenazah

Artikel ini disiarkan pada 09/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)