Kes kematian tertunggak Covid-19, bila sebenarnya tarikh kematian?, Ini satu analisa

Laman web baru penjejak pandemik, CovidNow, menunjukkan rekod 292 kes kematian Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat wabak tersebut kepada 20,711.

Lebih satu pertiga – atau 106 kes – kematian yang direkodkan adalah mereka yang meninggal sebelum sempat dibawa ke hospital, sementara selebihnya adalah kematian di hospital.

Bagaimanapun, daripada 292, hanya empat kematian sebenar dilaporkan semalam manakala selebihnya adalah data tertunggak membabitkan kematian lebih awal namun hanya disahkan akibat Covid-19 baru-baru ini sebelum dimasukkan ke statistik kebangsaan.

Berdasarkan kepada tarikh sebenar kematian, jumlah purata korban Covid-19 dalam tempoh tujuh hari terakhir sehingga semalam ialah 99 orang.

Dengan membandingkan statistik terperinci yang ditunjukkan Kementerian Kesihatan Malaysia pagi ini dan data yang direkodkan kelmarin, Malaysiakini mendapati kira-kira separuh kematian sebenarnya berlaku dalam enam hari terakhir.

Separuh lagi baki kematian berlaku sebelum itu malah seawal 15 April iaitu satu kematian yang baru sahaja direkodkan.

Tidak seperti kebanyakan negara lain, statistik kematian akibat Covid-19 di Malaysia perlu disahkan berpunca daripada pandemik tersebut berbanding hanya bergantung kepada keputusan ujian Covid-19 positif yang baru dijalankan.

Kes kematian tertunggak Covid-19, bila sebenarnya tarikh kematian?, Ini satu analisa

Sementara itu, di peringkat negeri kebanyakan kematian baru yang dilaporkan berlaku Sabah (84) dengan 35 daripadanya maut sebelum sampai ke hospital.

Ia diikuti dengan Selangor (45), Kedah (36), Negeri Sembilan (29), Kuala Lumpur (18), Johor (16), Pulau Pinang (16) Kelantan (13), Perak (11), Sarawak (9), Pahang (7), Terengganu (4), Melaka (2), dan Perlis (2).

Malaysia ketika ini mengubah kaedah penentuan kematian akibat Covid-19 untuk mencerminkan keadaan sebenar yang dengan lebih baik, namun pada masa sama ia akan mengakibatkan “lonjakan” kematian dalam jangka pendek.

Sebelumnya – disebabkan oleh tunggakan – Selangor dilaporkan mencatatkan kematian tertinggi akibat Covid-19 walaupun jumlah sebenar kematian adalah menurun kesan daripada pelaksanaan segera kempen vaksinasi penduduk Lembah Klang.

KKM berharap dapat menyelesaikan isu pelaporan kematian tertunggak bagi kawasan Lembah Klang menjelang akhir minggu depan dan menasihatkan orang ramai agar menggunakan data ‘kematian sebenar’ sepanjang tempoh tujuh hari sebagai petunjuk situasi semasa keadaan Covid-19 di Malaysia.

Namun, angka itu “dinamik” dan akan berubah-ubah dari masa ke masa kerana lebih banyak kematian dikenal pasti.

Jumlah tersebut hanya tidak berubah banyak selepas tunggakan tersebut ditangani dan langkah-langkah baru dilaksanakan untuk memastikan pelaporan tepat pada masanya.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/591102

BACA JUGA : MoU : Adakah PH sudah masuk kerajaan? Ini penjelasan pemimpin PH