Kes kematian akibat Covid-19 cecah 360 kes, merisaukan

kematian

Kes kematian akibat Covid-19 cecah 360 kes, merisaukan. Sebanyak 18,688 kes jangkitan baharu COVID-19 direkodkan di Malaysia dengan jumlah kematian melonjak kepada 360 orang dalam tempoh 24 jam lalu.

Angka kematian baharu itu adalah rekod tertinggi pernah dicatatkan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan menerusi akaun Twitternya, dengan kes baharu ini ia menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 dalam negara kini sebanyak 1,262,540 kes.

Selangor terus merekodkan kes jangkitan harian tertinggi dengan 6,565 kes, diikuti Kuala Lumpur (1,883), Kedah (1,610), Sabah (1,379), Johor (1,308) Negeri Sembilan (1,140) Kelantan (870) dan Perak (861).

Selain itu, Pulau Pinang merekodkan 694 kes, Pahang (602), Terengganu (598), Sarawak (581), Melaka (526), Putrajaya (63), Perlis (enam) dan Labuan (dua).

kematian

Dr Noor Hisham berkata, dengan 360 kematian dicatatkan hari ini, jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 meningkat kepada 10,749 kes.

Jumlah pesakit sembuh pula adalah seramai 17,055 orang manakala 1,095 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dengan 571 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 39 lagi kluster baharu COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu dan daripada jumlah itu, 18 adalah kluster tempat kerja yang direkodkan di Selangor, Johor, Kelantan, Kuala Lumpur, Sarawak, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang.

Turut direkodkan, 15 kluster komuniti melibatkan Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, Pahang dan Sarawak.

Dua kluster pusat tahanan dilaporkan di Perak dan Pahang, dua kluster kumpulan berisiko tinggi di Sarawak dan Kuala Lumpur, satu kluster keagamaan di Kedah dan satu kluster pendidikan tinggi di Kelantan.

Setakat ini, sebanyak 2,725 kluster telah diisytiharkan tamat manakala, 1,213 kluster masih aktif.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-jumlah-kematian-melonjak-360-orang-tertinggi-pernah-direkodkan-312980

BACA: 457 hari tanpa kes Covid-19, Brunei lapor 8 kes positif