Kes ibu hamil positif Covid-19 semakin meningkat. Seramai 40 ibu hamil yang disahkan positif Covid-19 sedang menerima rawatan di wad khas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sejak dua bulan lalu apabila hanya lima kes positif Covid-19 melibatkan ibu mengandung ditempatkan di hospital itu dilaporkan sebelum ini.
Katanya, daripada jumlah 40 pesakit, beberapa orang daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas tahap oksigen mereka rendah selain ada yang menghidap penyakit kronik.
“Kebanyakan ibu mengandung ditempatkan di wad khas kerana mereka akan diberi perhatian dalam usaha untuk menyelamatkan ibu dan anak dalam kandungan.
“Jika ada yang dimasukkan ke ICU dan kandungan mereka sudah mencapai tempoh bersalin, kita terpaksa menjalani pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawa dua individu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Selasawati, HRPZ II kini terpaksa menggunakan dewan syarahan di hospital itu sebagai wad sementara waktu kerana jumlah pesakit sudah mencecah 100 peratus.
“Jumlah pesakit yang berada di ICU sudah mencapai 96 peratus dan kemungkinan akan berlaku peningkatan dari masa ke semasa,” katanya
Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/08/14/ibu-hamil-positif-covid-19-meningkat-dua-bulan-lalu/