Kes Covid-19 semakin meningkat, Menteri bertanggungjawab perlu letak jawatan – Muda

Kes Covid-19 semakin meningkat, Menteri bertanggungjawab perlu letak jawatan – Muda

Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendesak agar menteri-menteri yang tidak berfungsi dipecat untuk menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan.

Dalam satu kenyataan, MUDA membuat desakan itu ekoran peningkatan kes baharu COVID-19 yang didakwa mereka akibat daripada kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

MUDA menegaskan, darurat yang diisytiharkan dilihat tidak meringankan beban rakyat kerana masih perlu menjelaskan segala tanggungjawab kewangan dan kehilangan sumber rezeki.

“Lebih tidak masuk akal ialah deklarasi darurat yang menggantung semua institusi demokratik negara, namun tiada seorang anggota kabinet pun yang melepaskan jawatan untuk diserahkan bidang tugas kepada penjawat awam.

“Dalam darurat ini rakyat masih perlu membayar hutang bank, melunaskan semua tanggungjawab kewangan dan menanggung kehilangan sumber rezeki. Pada masa yang sama bagi Menteri dan Timbalan semua jawatan dan keistimewaan dikekalkan.

“Daripada asyik meminta untuk rakyat berubah menyesuaikan diri dengan norma baharu, tiba masanya untuk barisan kepimpinan kabinet pula berubah dan menyesuaikan diri dengan norma baharu melalui kepimpinan melalui tauladan,” kata parti yang diasaskan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

MUDA mencadangkan agar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Timbalannya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Datuk Aaron Ago Dagang serta semua pegawai lantikan politik ditamatkan perkhidmatan.

Parti yang belum diluluskan pendaftarannya itu menjelaskan, tugas-tugas menteri-menteri yang tidak berfungsi itu boleh diserahkan kepada penjawat awam.

“MUDA memanggil untuk barisan kabinet dikecilkan dengan memecat khususnya menteri-menteri yang tidak berfungsi dan menyerahkan tugas kepada penjawat awam untuk operasi pengurusan harian sepanjang tempoh darurat ini.

“Bermula dengan Adham Baba selaku Menteri Kesihatan serta dua Timbalannya dengan menjimatkan kos gaji menteri serta timbalannya dan semua pegawai-pegawai lantikan politik, dan menyerahkan bidang kuasa tugas kepada Ketua Pengarah Kesihatan,” kata MUDA lagi.

Sebanyak 5,728 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan ia jumlah kes baharu tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.

Selangor masih mencatat angka tertinggi dengan 3,285 kes, sementara 13 lagi kes kematian telah direkodkan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan jumlah kes sembuh baru adalah 3,805 kes sementara jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 161,527 kes (77.04 %). –AA

COMMENTS