Kes Covid-19 meningkat, Selangor ambil langkah lebih proaktif – MB

Kes Covid-19 meningkat, Selangor ambil langkah lebih proaktif – MB

Situasi Terkini COVID-19 di Selangor

Penularan wabak COVID-19 telah menunjukkan perkembangan yang membimbangkan. Kes sebanyak tiga digit dicatat dalam enam daripada lapan hari di seluruh negara. Manakala di Selangor, jumlah kes harian telah mencapai angka dua digit untuk lima hari berturut-turut.

Namun Kerajaan Negeri percaya, dengan langkah-langkah yang sesuai, kita akan berjaya mengawal keadaan ini daripada bertambah buruk.

Dengan latar ini, saya telah mempengerusikan secara dalam talian Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor (MKN) petang ini dan Mesyuarat Pasukan Petugas COVID-19 Selangor (STFC) semalam bagi mendapatkan gambaran yang jelas lagi tepat serta merangka pendekatan yang terbaik sebagai persediaan menghadapi sebarang gelombang ketiga penularan wabak ini.

Berikut adalah ketetapan yang telah diputuskan:

A. Bilik Gerakan Covid-19

Waktu beroperasi Bilik Gerakan COVID-19 berpusat di Bilik Gerakan MTES, Bangunan SSAAS akan dilanjutkan sehingga jam 7 malam berbanding dengan hanya pada waktu bekerja sebelum ini. Ini juga akan membolehkan Kerajaan Negeri membuat pantauan serta meneliti perkembangan terkini COVID-19.

B. Saringan Bersasar Untuk Rakyat Yang Pulang Dari Sabah

Memandangkan kemungkinan jangkitan baharu yang terkait dengan jangkitan dari Sabah, Kerajaan Negeri ingin membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mempermudah pengesanan jangkitan COVID-19 dengan mengadakan saringan bersasar (targeted screening) secara percuma kepada semua rakyat Selangor yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 Oktober 2020 yang lepas.

Saringan ini boleh dilakukan di semua cawangan Selcare Clinic milik anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd dengan pembuktian dokumen penerbangan pulang dari Sabah serta bukti pemastautin tetap di Selangor (bil air, bil eletrik, dsb). Orang ramai diminta hadir ke klinik yang terdekat atau seperti dalam senarai di lampiran atau layari https://selcareclinic.com/our-clinics/ bermula Ahad, 4 Oktober 2020.

Aturan khas turut disediakan untuk saringan dilakukan di dewan orang ramai di daerah Kuala Selangor pada suatu tarikh dan lokasi yang akan dimuktamadkan kemudian.

C. Pengehadan Waktu Operasi Restoran Berkonsepkan Bar

Di samping mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mengekalkan larangan kepada semua jenis kelab malam dan bar untuk beroperasi, restoran yang berkonsepkan bar di seluruh negeri Selangor juga dihadkan operasi sehingga 11.00 malam sahaja berkuatkuasa Sabtu, 3 Oktober 2020.

Kegagalan pematuhan arahan ini akan membolehkan lesen perniagaan mereka dibatalkan pada kadar serta-merta.

D. Penambahbaikan SELangkah

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengambil Langkah segera dengan menambahbaik SELangkah. Berikut adalah antara ciri terbaharu aplikasi tersebut:

1. Ciri “Peta & Semakan Premis“ – pengguna boleh mendapatkan maklumat berkenaan premis-premis yang telah dilaporkan terdedah kepada COVID-19, beserta tarikh sanitasi premis berkenaan bagi memastikan kunjungan anda terus selamat.

2. Ciri “Semakan kendiri“ – pengguna boleh membuat semakan silang (cross check) sama ada pengguna ada mengunjungi premis-premis yang berisiko dalam tempoh inkubasi. Dalam masa terdekat akan datang, pengguna juga boleh memeriksa sama ada mereka terdedah kepada individu lain yang telah disahkan menghidap COVID-19.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, penggunaan SELANGKAH adalah diwajibkan bagi premis – premis kerajaan dan perniagaan, sebagai Syarat Tambahan Pembukaan Semula Ekonomi Selangor, melalui pekeliling Kerajaan Negeri bertarikh 3 Mei 2020 (No Ruj, (31) IPK.SEL.SPBT.70-1/7/2), dan Kerajaan Negeri berharap agar semua peniaga boleh mempamerkan poster SELANGKAH secara jelas, dan agar para pengguna dapat mengimbas masuk menggunakan SELANGKAH.

E. Pusat Tahanan Sementara

Bagi melandaikan keluk perebakan COVID-19, Selangor akan mewujudkan empat Pusat Tahanan Sementara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di beberapa lokasi yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan.

F. Pengehadan Persidangan Secara Beramai-ramai
Kerajaan Negeri Selangor menggalakkan masyarakat untuk sentiasa mengikut Tatacara Operasi Piawai (SOP) apabila berada di kawasan yang melibatkan ramai orang. Sebarang persidangan dan perhimpunan secara beramai-ramai adalah tidak digalakkan dan had maksima pada satu-satu masa adalah seramai 250 orang.

Sayugia diingatkan bahawa Selangor pernah mencatatkan nilai kes yang tinggi semasa awal pandemik ini, namun kita berjaya mengawalnya. Ini membuktikan bahawa kaedah kita sebelum ini adalah berkesan sekiranya ia disokong penuh oleh masyarakat.

Justeru, rakyat diseru agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan mengamalkan 3W (Wash, Wear dan Warn) serta mengelakkan 3S (Sempit, Sesak dan Sembang Jarak Dekat). Penyertaan kita semua adalah kunci kepada kejayaan terdahulu, dan Kerajaan Negeri berharap agar kita dapat mengulangi semula kejayaan yang sama, Insya-Allah.

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Sumber :

COMMENTS