Kes BID Covid-19 makin meningkat, apa puncanya?

Adun

Kes BID Covid-19 makin meningkat, apa puncanya.Sistem kesihatan yang semakin tertekan, kegagalan pengesanan kontak rapat dan kurang kesedaran mengenai komorbiditi mungkin menjadi punca peningkatan kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) akibat Covid-19, kata dua doktor.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy berkata, mereka yang mempunyai pelbagai penyakit lain lebih terkesan dengan Covid-19.

“Tetapi ramai orang di negara ini tidak tahu mengenai keadaan komorbiditi mereka,” katanya kepada FMT sambil menjelaskan penyakit kencing manis dan darah tinggi adalah sangat biasa.

“Menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bukan amalan di negara ini. Orang ramai tidak akan berjumpa doktor melainkan mereka sakit.”

Dr Subramaniam Muniandy.
Subramaniam berkata, ini adalah sebab mengapa pentingnya vaksin kerana ia meningkatkan ketahanan dalam melawan virus dan melindungi mereka yang mempunyai komorbiditi daripada mengalami kesan jangkitan lebih teruk.

Kes

Katanya, apabila sistem kardiorespiratori (jantung dan paru-paru) seseorang terjejas, badan mereka menjadi lemah dan biasanya akan menyebabkan kematian.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, sistem kesihatan yang semakin tertekan menyebabkan pesakit lewat dimasukkan ke hospital apabila mereka sudah pun mengalami gejala teruk dan lebih sukar dirawat.

Katanya, satu lagi faktor disebabkan kegagalan sistem pengesanan kontak.

Dr Kelvin Yii.
Yii yang mengetuai Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen berkata, asas kepada kawalan penyakit berjangkit, iaitu FFTIS (mencari, menguji, mengesan, mengasingkan dan menyokong) tidak boleh diabaikan.

“Walaupun dengan kadar vaksinasi yang tinggi, kita masih perlu meningkatkan ujian untuk mengesan, mengasing dan merawat secepat mungkin.

“Ini lebih penting untuk melindungi negeri-negeri lain daripada melalui keadaan seperti tragedi di Lembah Klang apabila sistem kesihatan semakin tertekan dan angka kematian juga tinggi.”

Beliau menggesa satu pelan ujian di peringkat nasional dilakukan untuk menentukan siapa, bila dan berapa kerap untuk mereka diuji selain apa yang berlaku selepas itu.

Selain itu, Yii turut menggesa Putrajaya menggerakkan lebih ramai petugas untuk mengendalikan proses pengesanan kontak di lapangan.

“Mereka menggerakkan ribuan sukarelawan untuk membantu proses vaksinasi, jadi mereka juga boleh melakukannya untuk pengesanan kontak termasuk menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI).”

Yii turut berkata, kerajaan harus memberi subsidi kit ujian kendiri Covid-19 supaya ia boleh diakses oleh semua orang selain diagihkan kepada komuniti B40 serta kawasan berisiko tinggi untuk memutuskan rantaian jangkitan.

Malaysia mencatatkan angka kematian tertinggi pada Ahad lalu dengan 360 kes yang terdiri daripada 85 atau 24% kes BID.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, 80% kes BID tidak didiagnos dengan Covid-19 sebelum kematian mereka selain melihat terdapat sekitar 80 hingga 100 kes BID seminggu sebelum ini yang kebanyakannya membabitkan warga asing.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/10/punca-mengapa-kes-bid-covid-19-meningkat/

BACA: Kerajaan pertimbang beri kelonggaran kepada negeri fasa 1