Kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan adalah mustahil

Kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan adalah mustahil

Kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan adalah mustahil. Sukar untuk Umno bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang disertai DAP walaupun wujud gerakan terancang didakwa membabitkan pemimpin tertinggi dalam membentuk jajaran politik baharu, kata penganalisis politik.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berkata, mustahil untuk perkara itu berlaku kerana ia tidak akan direstui akar umbi Umno biarpun selepas parti terbabit memutuskan tidak lagi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Perikatan Nasional (PN).

“Umno tidak mungkin bersama dengan PKR dalam PRU15 nanti. Akar umbi Umno tidak akan restuinya. Sebab ideologi berbeza,” katanya kepada FMT.

Katanya, langkah tepat perlu dibuat Barisan Nasional (BN), PN dan PH menuju pilihanraya umum secara bersendirian dengan memberikan tawaran terbaik untuk memenangi pilihanraya.

Umno

“Yang terbaik bagi BN-PN-PH dalam PRU15 ialah bawa haluan masing-masing. Bila tidak cukup majoriti nanti barulah bentuk kerajaan dengan menjemput parti-parti yang lain termasuk PKR atau PAS,” katanya.

Sementara itu, Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut senada dengan Atory di mana BN, PN dan PH perlu membawa haluan masing-masing dalam pilihanraya dan membuktikan kepada rakyat pihak mana lebih baik memandangkan tiga gabungan itu pernah menjadi kerajaan.

“BN, PN, PH semua pernah jadi kerajaan dan rakyat boleh lihat pihak mana yang terbaik, memang tidak ada yang sempurna, tapi rakyat boleh nilai mana yang terbaik, jadi mereka perlu bawa haluan masing-masing.

Salawati tidak menolak dakwaan pembabitan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam memberi sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim akan memberi persepsi buruk kepada rakyat di saat negara berdepan krisis kesihatan.

“Rakyat akan marah sebab mereka akan lihat Umno masih mahu bermain politik di saat rakyat tengah susah, tidak sesuai. Jika benar, langkah Zahid itu meletakkan Umno dalam keadaan tiada hala tuju, beliau sebagai presiden sepatutnya mengukuhkan dan menguatkan parti untuk kembali berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, adapun kerjasama Umno dengan PKR menjadi realiti, ia pasti tidak akan bertahan lama kerana secara tradisinya, Umno susah bekerjasama dengan pembangkang.

Sebelum ini, pemimpin PH termasuk PKR dan DAP tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno ketika wujudnya dakwaan Zahid menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Ia dikuatkan lagi apabila pada 4 Julai lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris daripada Umno, mengakui menandatangani akuan bersumpah (SD) yang menyokong Anwar sebagai perdana menteri yang baharu.

Malah, semasa pertemuan bersama dengan ahli-ahli Parlimen Umno di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di ibu negara Isnin lalu, media memetik sumber sebagai berkata, Zahid mengakui suara di dalam rakaman telefon yang tular bersama Anwar sebelum ini adalah suaranya dan turut mengaku menandatangani surat menyokong presiden PKR itu sebagai perdana menteri.

Rentetan kontroversi itu, terbaharu Umno memutuskan tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dan meminta perdana menteri baharu dilantik

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/10/mustahil-berlaku-jajaran-politik-baharu-kata-penganalisis/

kalau Anda terlepas: Lelaki ini dedah admin medsos KKM tak tahu apa berlaku di lapangan