Kerjasama dengan Umno, PH tidak patut terus kunci pintu – Naib Ketua AMK

Kerjasama dengan Umno, PH tidak patut terus kunci pintu – Naib Ketua AMK

Pakatan Harapan (PH) perlu sentiasa terbuka untuk menerima kerjasama politik dengan sesiapa sahaja, termasuk Umno, kata Naib Ketua Pemuda PKR (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman.

Katanya, keterbukaan PH menerokai kerjasama dengan mana-mana pihak lain akan membuka peluang kepada gabungan itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

“PH tidak seharusnya bersikap “kunci mati” pintu kerjasama terhadap mana-mana pihak kerana situasi politik semasa sentiasa berubah-ubah.

“Sekiranya agenda reformasi yang menjadi dukungan Pakatan Harapan boleh diterima oleh pihak lain, tidak mustahil satu kerjasama politik boleh dijalinkan,” kata Syed Badli Shah dalam satu kenyataan hari ini.

Dia berkata demikian selepas Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin semalam mengatakan gabungan itu tidak sepatutnya bekerjasama dengan “kluster mahkamah” dari Umno.

“Kluster mahkamah” adalah istilah yang merujuk kepada beberapa pemimpin Umno yang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah termasuk presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, bekas presidennya, Najib Razak dan setiausaha agung parti itu, Ahmad Maslan.

Para pemerhati berpendpat kumpulan ini berminat menjalinkan kerjasama dengan presiden PKR dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, namun langkah itu ditentang pimpinan Umno lain.

Anwar tidak menolak kerjasama dengan Umno pada pilihan raya umum ke-15 dengan mengulangi pendapatnya bahawa PH akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang menyokong agenda reformasi.

Namun, Shazni berkata kerjasama dengan pemimpin Umno yang sedang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah adalah serupa dengan membelakangi perjuangan PH dan penyokong mereka.

“Sepatutnya tidak boleh (bekerjasama). Kalau kita pergi ke arah itu, kerisauan paling besar macam mana kita nak jawab kepada rakyat bila perkara itu berlaku.

“Apa kita nak justify? Bertahun-tahun kita lawan rasuah. Bertahun-tahun kita lawan penyalahgunaan kuasa.

“Tiba-tiba bila kita berdepan PRU atau selepas PRU, kita kerjasama dengan pihak-pihak macam ini.

“Kita hendak jawab apa balik dengan rakyat yang selama ini menyokong dan percaya dengan agenda reformasi yang kita nak buat,” kata Shazni.

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/566254