Kerana lewat 2 minit, hilang emas dan RM1 juta

Kerana lewat 2 minit, hilang emas dan RM1 juta.Hanya kerana dua minit lewat tiba di ‘Call Room’ (bilik menunggu) kelmarin, Muhammad Ziyad Zolkefli terlepas pingat emas Sukan Paralimpik, rekod dunia dan habuan RM1 juta.

Rayuan Malaysia terhadap pembatalan pingat emas Ziyad dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo ditolak oleh Olahraga Para Dunia.

Keputusan itu bermakna Ziyad, 31, gagal mempertahankan emas yang dimenangi di Rio 2016, manakala rekod dunia yang dicipta 17.94 meter (m) tidak dikira.

Ukraine yang mengemukakan bantahan membawa pulang emas menerusi Maksym Koval dengan catatan 17.34m yang juga rekod baharu dunia. Seorang lagi atlet mereka, Oleksandr Yarovyi (17.30m) meraih perak, manakala Efstratios Nikolaidis dari Greece memenangi gangsa.

Kecewa dengan apa yang berlaku terhadap Ziyad, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk memberi ganjaran sewajarnya kepada atlet kelahiran Selangor itu.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, ia penting setelah pingat emas yang dimenangi Ziyad ‘diragut’.

 lewat

“Saya juga memohon pertimbangan Kerajaan agar dapat memberikan ganjaran sewajarnya ataupun yang bersesuaian di atas jasa dan pencapaian luar biasa Ziyad dalam Paralimpik Tokyo sebagai menghargai pengorbanannya selama ini.

MEGAT D SHAHRIMAN
“Bagi pihak kontinjen negara, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas isu yang terjadi,” katanya, yang Ketua Kontinjen Negara (CDM) Paralimpik Tokyo.

Kata Megat D Shahriman, MPM juga berjanji akan memperjuangkan nasib pemenang emas di Rio 2016 itu selepas tamat temasya tersebut pada Ahad ini.

“MPM masih belum berputus asa dan akan memanjangkan isu ini ke Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Olahraga Para Dunia sejurus berakhir Paralimpik Tokyo.

“Ini kerana tindakan itu hanya boleh dilakukan selepas berakhirnya temasya tersebut,” katanya.

Kata Megat D. Shahriman, beliau telah bertemu Ziyad dan mengakui, Ziyad dilihat berlapang dada dengan keputusan yang tidak memihak kepadanya itu.

“Kepada atlet negara yang masih berjuang diharap meneruskan fokus kepada acara masing-masing.

“Misi kita di Tokyo belum selesai dan kami memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/sukan/2021/09/2-minit-pisahkan-emas-rm1-juta/

BACA: KKM mungkin cadang individu enggan divaksin jalani ujian saringan berjadual