Kerajaan tangguh pekeliling mansuh elaun kritikal, kata Syed Saddiq

Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) yang sebelum ini diumumkan berkuatkuasa Januari depan melibatkan pelantikan baru penjawat awam.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan perkara itu selepas mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

“Sebentar tadi saya baru berbincang dengan Dr Mahathir berkenaan isu elaun kritikal dalam pekeliling baru JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam).

“Alhamdulillah PM telah bersetuju untuk menangguhkan pekeliling itu dan Kabinet akan bersama membincangkan isu ini pada mesyuarat Kabinet pertama, Januari akan datang,” katanya dalam satu klip video yang dimuatnaik di Facebook rasminya

Sebelum ini, Syed Saddiq serta beberapa pihak lain mengkritik keputusan pemansuhan elaun kritikal itu

Menurutnya, sebagai wakil suara anak muda, beliau akan terus memperjuangkan nasib orang muda di negara ini.

“Suara anak muda adalah suara keramat, mereka merupakan pewaris negara bangsa kita bersama. Saya akan pastikan suara doktor, jururawat dan anak-anak muda dalam sektor kerajaan tidak akan diabaikan, dianaktirikan. Insya-ALLAH kita akan usahakan yang terbaik,” katanya.

Semalam, JPA menjelaskan kerajaan menanggung hampir RM1 bilion tahun ini bagi menampung BIPK kepada penjawat awam dalam 33 skim perkhidmatan.

Menurut JPA, keputusan pemansuhan itu telah diputuskan di peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) tahun 2019 kemudian dimaklumkan dalam mesyuarat jemaah menteri.