Kerajaan tak perlu takut dengan usul undi tak percaya, kata Tajuddin

Kerajaan tak perlu takut dengan usul undi tak percaya, kata Tajuddin

UMNO tidak berminat mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jika sidang Dewan Rakyat diadakan dalam tempoh terdekat.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebaliknya berkata, UMNO hanya mahu menumpukan kepada masalah COVID-19 dalam sidang Dewan Rakyat nanti.

“Kerajaan tidak perlu takut dengan usul undi tidak percaya kerana UMNO buat kenyataan tidak berminat usulkan undi itu (tidak percaya) kerana kita mahu menumpukan kepada masalah COVID-19.

“Maka, apa nak takut? Semua bagi jaminan begitu, termasuk parti pembangkang. Maka, segerakan sidang Parlimen.

“Tidak ada yang perlu ditakutkan. Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) diberi jaminan semua orang tidak akan ada undi tidak percaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan fasa kedua kepada 1,334 penerima Bantuan Rakyat Prihatin (BPR) di Parlimen Pasir Salak, hari ini.

Antara penerima bantuan ialah anggota barisan hadapan dari Balai Polis Langkap, Balai Polis Chui Chak, Balai Polis Labu Kubong, Klinik Kesihatan Langkap, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk setempat.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak mengulas pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang persidangan Parlimen harus diadakan secepat mungkin.

Katanya, Dewan Rakyat perlu bersidang dengan segera bagi memberi peluang kepada Ahli Parlimen memberi pandangan membantu kerajaan ketika pandemik COVID-19.

“Sekiranya Parlimen bersidang segera, saya rasa banyak idea dan cadangan boleh dimanfaatkan untuk membantu kerajaan mengambil tindakan mengatasi masalah COVID-19, rakyat dan ekonomi.

“(Ketika ini) wakil rakyat duduk tengok saja dan hantar barangan makanan, itu saja yang boleh dibuat sebab dalam tempoh darurat,” katanya.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/politik/2021/06/829630/tiada-usul-undi-tidak-percaya-tajuddin