Kerajaan ‘sengaja’ leka untuk lanjut PKP dan darurat, itulah penderhakaan – Najib

Kerajaan ‘sengaja’ leka untuk lanjut PKP dan darurat, itulah penderhakaan – Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak berharap spekulasi kerajaan sengaja “leka” dengan membenarkan SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 longgar dan membiarkan kes Covid-19 tinggi supaya PKP dan darurat boleh dipanjangkan adalah tidak benar.

Najib berkata, jika perkara itu benar ia adalah penderhakaan paling dahsyat kepada rakyat kerana isu kesihatan dan kesejahteraan rakyat untuk tempoh jangka masa panjang sengaja dikorbankan, memandangkan kes Covid-19 ketika ini masih empat angka setiap hari.

“Jangan dibuat PKP separuh masa dengan penuh kelonggaran. Apa manfaat rakyat dapat daripada tempoh 27 hari PKP 2.0 separuh masak setakat ini. Kes Covid-19 masih kekal tinggi dengan 3,731 kes baharu semalam. Kes aktif Covid pula cecah rekod lagi semalam dengan 51,241 pesakit.

“Dibuat pula benda pelik seperti wujudkan laluan hijau dengan Indonesia di mana keadaan Covid tidak kurangnya genting berbanding Malaysia. Saya harap spekulasi rakyat bahawa kerajaan sengaja leka untuk PKP 2.0 ini agar kes Covid tetap tinggi supaya PKP dan darurat boleh dipanjangkan adalah tidak benar,” katanya di Facebook.

Najib berkata, PKP 2.0 kali ini lebih susah berbanding PKP kali pertama Mac tahun lalu kerana simpanan dan rizab sektor swasta dan rakyat khususnya sudah habis digunakan untuk tahun lalu. Bahkan, bantuan diberikan kerajaan juga semakin berkurang.

“Kita masih tidak nampak lagi jalan keluar dari kesempitan apabila kes Covid-19 tetap tinggi sepanjang PKP. Sebab itu saya berkali-kali suruh kerajaan buat PKP dengan betul dan amat ketat dengan bantuan kerajaan yang sewajarnya supaya kesannya singkat dan tidak perlu dilanjutkan berkali-kali,” katanya.

Sementara itu, mengulas laporan FMT mengenai kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) yang bertajuk “Keluarga di Pinggiran”, Najib berkata jika ia benar-benar berlaku, maka ia memberi gambaran bahawa kerajaan sudah gagal menjaga rakyatnya.

“Saya amat sedih dan marah setelah membaca laporan ini,” katanya.

Ia susulan tinjauan yang dibuat ke atas 500 ketua isi rumah (KIR) yang mendapati, 63% daripada mereka tidak mampu menampung perbelanjaan harian termasuk membeli barangan dapur dan membayar bil.

Malah, Unicef turut melaporkan, pengangguran dalam kalangan KIR meningkat dua kali ganda sejak tahun lepas ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dijalankan.

Malah, kajian juga mendapati, kadar pengangguran meningkat daripada 7% pada September kepada 15% pada Disember dengan satu daripada tiga orang dewasa isi rumah tidak mempunyai pekerjaan.

Sekali gus, menjadikan kadar kemiskinan dalam kalangan keluarga itu kekal tinggi iaitu pada 42%, di sebalik bantuan kerajaan yang membantu meringankan beban mereka.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/08/derhaka-paling-dahsyat-jika-sengaja-leka-untuk-lanjut-pkp-darurat-kata-najib/FMT