Kerajaan sedang pertimbang beri vaksin percuma kepada pekerja asing – Menteri

Kerajaan sedang meneliti untuk mempertimbangkan pemberian vaksin Covid-19 secara percuma kepada pekerja dan warga asing yang tinggal di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keperluan itu mengambil kira risiko yang perlu dihadapi rakyat Malaysia sekiranya kumpulan warga asing tersebut tidak menerima suntikan vaksin wabak berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 dua minggu lagi.

“Kita cuba untuk sasarkan (warga asing) seramai yang mungkin. Prinsipnya mudah, kita perlu vaksinkan pekerja asing untuk pastikan mereka selamat dan untuk pastikan kita (rakyat Malaysia) juga selamat.

“Lebih ramai yang divaksin, kita lebih selamat. Katalah kita hanya beri vaksin pada rakyat kita tapi tak beri vaksin kepada tiga juta pekerja asing, kita masih dalam risiko.

“Sebab itu kita teliti perkara ini. Katalah kita minta mereka atau majikan mereka bayar, itu akan menjadi pilihan kepada mereka dan mereka (boleh pilih) tak mahu kerana pengambilan ini bukannya wajib,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

Khairy berkata, perbincangan lanjut akan dibuat membabitkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Luar.

“Kita akan buat keputusan untuk mengesyorkan kepada Kabinet sama ada vaksin Covid-19 untuk warga asing diberikan secara percuma atau tidak,” katanya.

Terdahulu, Khairy bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung perjanjian pembelian Vaksin Covid-19 untuk negara ini.

Khairy berkata, keterangan tersebut dibuat secara sukarela bagi memastikan ketelusan dalam proses perolehan berkenaan.

“Saya faham bahawa ada keresahan berkenaan dengan syarat kerahsiaan yang ada dalam kontrak-kontrak tersebut.

“Oleh kerana tidak dapat umumkan harga secara teliti bagi setiap pembelian walaupun kita sudah umum harga keseluruhan, saya telah dedahkan harga pembelian kita secara terperinci kepada PAC. Saya telah dedahkan dokumen kontrak antara syarikat terlibat,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/117679/KHAS/Covid-19/Kerajaan-teliti-cadangan-vaksin-percuma-kepada-pekerja-asing

COMMENTS

Wordpress (0)