Kerajaan Pulau Pinang terpaksa akur jika PKP lebih ketat dilaksanakan

Kerajaan Pulau Pinang terpaksa akur jika PKP lebih ketat dilaksanakan

Kerajaan Pulau Pinang akur sekiranya negeri itu akan menjalani semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat dalam masa terdekat.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, sebarang keputusan yang akan diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelak akan diterima kerana langkah itu perlu demi membendung penularan COVID-19.

Justeru, beliau berharap semua pihak akan menerima keputusan yang akan diputuskan kerajaan kelak.

“Kita perlu mematuhi keputusan yang dibuat, dan SOP yang dikenakan mengikut pelaksanaan keputusan ini. Kita menyeru semua pihak menerima keputusan dengan lebih tegas sekiranya PKP yang lebih ketat diperkenalkan, dengan tujuan untuk kawal penularan dan supaya keadaan tidak jadi lebih buruk… (Itu) adalah matlamat asas yang perlu kita terima,” ujar Kon Yeow.

Mengulas mengenai situasi COVID-19 di negeri itu, Kon Yeow berkata, pihaknya sudah memberikan data penilaian risiko negeri kepada MKN bagi membolehkan keputusan yang sejawarnya dibuat dalam mesyuarat yang diadakan petang ini.

“Kita percaya penilaian risiko dan rumusan oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang itu akan dipertimbangkan oleh MKN pada mesyuarat petang ini, sama ada PKP jenis apa yang akan dan yang mahu dikuatkuasakan di Pulau Pinang,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kesediaan Pulau Pinang sekiranya PKP dilaksanakan sekali lagi di negeri itu berikutan peningkatan kes positif COVID-19 ketika ini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengemukakan cadangan supaya PKP dilaksanakan di enam buah negeri termasuk di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan Sarawak.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pulau-pinang-akur-jika-pkp-lebih-ketat-dilaksanakan-semula-296224