Kerajaan Pulau Pinang serah peranti komputer kepada 350 usahawan mikro

Kerajaan Pulau Pinang serah peranti komputer kepada 350 usahawan mikro

Seramai 350 usahawan mikro di Pulau Pinang dikenal pasti di bawah Skim Perintis Program Usahawan Mikro Go Digital untuk menerima 350 set peranti komputer yang secara keseluruhannya bernilai RM320,950.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata inisiatif itu dilancarkan pada November 2020 bagi membantu usahawan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 serta memudahkan urusan transaksi perniagaan dijalankan secara digital.

“Pengagihan akan dilaksanakan bermula hari ini secara berperingkat dan dijalankan dalam beberapa sesi, iaitu satu sesi akan diagihkan kepada 10 penerima sahaja sehingga selesai penyerahan 350 unit set peranti komputer itu.

“Kerajaan negeri berharap usahawan dapat menguasai ilmu digital sekali gus merebut peluang besar untuk meningkatkan serta melonjakkan aktiviti perniagaan masing-masing melalui platform e-dagang tanpa sempadan ini,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan yang lain, Kon Yeow berkata Task Force Program Komputer e-Pembelajaran Pulau Pinang menerima 927 komputer sehingga kini, selepas menerima sumbangan 100 unit komputer terpakai (25 komputer riba dan 75 desktop) hari ini, yang keseluruhannya bernilai RM100,000 dari syarikat Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd.

“Program ini memberi manfaat kepada 730 pelajar terpilih untuk menerima komputer secara percuma dan saya difahamkan masih terdapat kira-kira 200 pelajar masih belum memperoleh komputer untuk tujuan e-pembelajaran.

“Oleh itu, saya ingin menyeru supaya pihak korporat dan juga orang perseorangan untuk terus menderma komputer lama kepada kerajaan negeri bagi dibaiki supaya kita dapat sama-sama membantu lebih ramai pelajar,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2021/02/786787/350-usahawan-mikro-terima-set-peranti-komputer