Kerajaan PN tidak akan mansuhkan sekolah vernakular – Menteri

Kerajaan PN tidak akan mansuhkan sekolah vernakular – Menteri

Kerajaan tidak akan mengubah sistem pendidikan negara dengan memansuhkan sekolah vernakular, demi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique, ketika memberikan jaminan itu, berkata usaha memupuk perpaduan negara dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia berupaya dirintis menerusi kaedah lain.

Katanya, kerajaan ketika ini menggiatkan inisiatif untuk menyuntik kesedaran berhubung kepentingan perpaduan dengan menghayati aspek rukun negara bermula di peringkat awal.

“Oleh itu, kita jalin kerjasama strategik dengan tiga kementerian lain, iaitu Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Ini kerana dalam usaha untuk kita kukuhkan perpaduan, ia harus bermula dari asas, justeru penghayatan rukun negara perlu dilaksanakan daripada pendidikan awal kanak-kanak.

“Kita sudah tubuhkan jawatankuasa teknikal, dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan (Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi) dan tiga kementerian lain.

“Selain itu, kita sudah gerakkan penubuhan Kelab Rukun Negara yang setakat ini ada 6,621 kelab di sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah jenis Tamil dan sekolah jenis Cina,” katanya pada Waktu

Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching berhubung cadangan untuk mengubah sistem pendidikan negara, berikutan dakwaan sebelum ini bahawa bibit perpecahan mula meruncing di sekolah vernakular.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/724441/sekolah-vernakular-tidak-dimansuhkan