Kerajaan PN mesti hentikan politik ugut dan bacul – PKR

Kerajaan PN didesak supaya segera menghentikan amalan politik ugut dan bacul sepertimana yang diamalkan ketika ini, kata Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Perlis, Amran Kamarudin.

Jelas beliau usaha yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa dengan menggunakan pelbagai agensi kerajaan untuk mengugut pimpinan oposisi khususnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong bagi pembatalan darurat yang turut mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen adalah tidak profesional sama sekali.

Malah tegas beliau, arahan supaya Anwar dan beberapa individu lain disiasat di bawah Akta Hasutan adalah tidak wajar dilakukan.

“Kerajaan pimpinan PN seharusnya sedar bahawa kandungan warkah yang dipersembahkan dengan memohon supaya Parlimen dibenarkan bersidang semasa Proklamasi Darurat bukanlah suatu penderhakaan sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Sepatutnya mereka yang membuat tuduhan menyedari bahawa warkah yang dipersembahkan adalah dengan penuh adab dan menurut peraturan yang ditetapkan serta membuat rayuan dan tidak langsung bertentangan dengan mana- mana undang-undang sedia ada.

“Sejajar dengan itu, kerajaan seharusnya lebih terbuka dan profesional khususnya dalam usaha membincang dan mencari solusi bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan bukannya membuat tuduhan dan dakwaan bermotifkan politik serta mencanang-canangkan secara ketara membabitkan Akta Hasutan, ” ujar beliau yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Padang Besar. – MD

COMMENTS

Wordpress (0)