Kerajaan perlu siasat kes pekerja kurier – MTUC

Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan supaya bertindak segera dan mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan berlakunya kontroversi melibatkan pekerja J&T Express baru-baru ini.

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya berasa terkejut dan memandang serius kejadian tersebut yang didakwa merupakan tindakan mogok pekerja syarikat penghantaran berkenaan.

Katanya, siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan kesahihan dakwaan itu yang dikatakan terjadi kerana berlakunya pengabaian kebajikan dan pemberian komisen oleh syarikat terbabit.

“Sekiranya pihak Pengurusan J&T Express telah melanggar dan mengabaikan pekerja-pekerja mereka maka tindakan tegas perlu diambil.

“Dan semua pekerja J&T Express hendaklah mendapat kebajikan sewajarnya daripada majikan mereka serta bayaran yang setimpal terhadap kerja yang telah dilakukan oleh pekerja syarikat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Ahad, tular sebuah video berdurasi 15 saat di aplikasi TikTok yang menunjukkan sekumpulan pekerja syarikat J&T Express membaling barang pelanggan.

Turut kedengaran di dalam video tersebut adalah teriakan beberapa pekerja menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pengurusan syarikat lalu menyebabkan timbul dakwaan kejadian itu ada kaitan dengan tindakan mogok akibat masalah gaji.

Bagaimanapun, J&T Express pada hari yang sama telah menafikan bahawa kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan tindakan mogok mahupun isu bayaran komisen.

Sementara itu, Mohd Effendy berkata, pihaknya telah pun mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama persatuan penghantar E-Hailing Malaysia berkaitan isu kebajikan serta pembayaran komisen.

Jelas beliau, MTUC juga pernah membangkitkan mengenai perkara terbabit semasa melakukan pertemuan bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan baru-baru ini.

“MTUC mencadangkan agar isu seperti tiada kontrak pekerjaan, pemotongan komisen serta kelewatan pembayaran gaji mahupun lebih masa perlu diambil perhatian serius oleh kerajaan supaya ia diselaraskan serta dikaji semula undang-undang sedia ada.

“Penambahbaikan tersebut perlu dilakukan agar pekerja dalam sektor penghantaran ini menerima upah yang setimpal di samping kebajikan mereka terbela dan terjaga,” katanya.

“MTUC juga menggesa supaya pihak berwajib supaya melakukan pemantauan serta pemeriksaan berkala bagi memastikan tiada berlakunya pelanggaran undang-undang dan diskriminasi oleh pihak majikan terhadap pekerja sektor ini,” katanya.

Mohd Effendy turut memohon supaya mana-mana pekerja J&T Express yang terlibat dalam pemotongan gaji, komisen ataupun elaun kerja lebih masa supaya membuat aduan ke Pejabat MTUC bagi mendapatkan pembelaan yang adil.

“Sebagai tindakan awal, MTUC telah memaklumkan kepada Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) berkaitan isu ini.

“MTUC berharap agar perbincangan JTKSM bersama MTUC dapat diadakan sebaik sahaja siasatan selesai dilakukan bagi mengenal pasti punca dan tindakan penyelesaian yang terbaik buat pekerja J&T Express.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/123158/BERITA/Nasional/MTUC-gesa-kerajaan-siasat-dakwaan-tindakan-mogok-pekerja-kurier

COMMENTS

Wordpress (0)