Kerajaan Pakatan Harapan Telah Menyatakan Komitmen Untuk Terus Menyokong Nasyrul Quran

Ramai yang tidak mengetahui yang negara kita mempunyai kompleks percetakan Al-Quran yang kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Secara umumnya kompleks yang dinamakan sebagai
Nasyrul Quran itu dibangunkan di atas tanah seluas 2.09 hektar di Presint 14 dengan kos bangunan, mesin cetak dan mesin jilid ditanggung Kerajaan Malaysia sepenuhnya.

‘Nasyrul Quran’ yang menjadi nama rasmi kepada kompleks itu diambil daripada bahasa Arab bermaksud penyebaran al-Quran.
Justeru, melalui nama tersebut jelas memperlihatkan fungsinya yang bukan hanya setakat sebagai pusat percetakan bahkan sebagai pusat penyelidikan, pentafsiran, penterjemahan dalam pelbagai bahasa, penerbitan dan pengagihan al-Quran.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata “ Kerajaan Pakatan Harapan telah menyatakan komitmen untuk terus menyokong Nasyrul Quran dalam usaha-usaha dalam menjaga kesucian dan menyemarakkan kemurnian kitab suci al-Quran. Justeru, bantuan dan sokongan yang bersesuaian selari dengan keperluan Nasyrul Quran akan terus diberikan oleh agensi dan jabatan berkaitan.”

“MAIWP sebagai salah satu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Agama) sebagai contoh baru-baru ini telah meluluskan sebanyak RM1 juta bagi pembiayaan kos pembinaan Surau Al-Furqan di Nasyrul Quran” ujarnya lagi.

Untuk rekod, setakat ini sebanyak lebih dari RM30 juta telah disalurkan oleh MAIWP bagi membiayai kos pembinaan kompleks tersebut dan kos pembelian dan penyelenggaraan mesin percetakan dan bahan mentah seperti kertas dan dakwat. Setakat ini Nasyrul Quran mencetak sebanyak 80,000 naskhah Al-Quran sebulan.

Nasyrul Quran juga dibuka kepada oarang ramai dan lawatan secara berkumpulan adalah dialu-alukan.