Kerajaan negeri Selangor teruskan saringan besar-besaran Covid-19 secara percuma – MB

Kerajaan negeri Selangor teruskan saringan besar-besaran Covid-19 secara percuma – MB

Seramai 3,342 atau 3.43 peratus individu di Selangor berkemungkinan positif COVID-19 hasil ujian saringan besar-besaran yang dijalankan di negeri itu sejak 8 Mei.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 97,565 warga Selangor telah disaring di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor setakat 10 Jun.

“Mengikut keberkesanan dan kepentingan khidmat saringan ini, kerajaan negeri akan meneruskan Ujian Saringan COVID-19 Percuma dalam fasa ke-3 yang menyasarkan 100,000 individu.

“Ini termasuk memberi tumpuan kepada kawasan ‘hotspot’ (titik panas) kes COVID-19 serta kawasan industri dan perkilangan,” katanya dalam ciapan di Twitter, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, ADUN Sungai Tua itu menzahirkan terima kasih kepada warga Selangor dan petugas serta badan berkuasa yang terlibat sepanjang Porgram Saringan COVID-19 Komuniti Bersasar.

Program saringan percuma yang dilakukan kerajaan Selangor sejak 8 Mei lalu, mendapati golongan produktif berusia 20 hingga 40 tahun, menjadi kumpulan positif COVID-19 tanpa menunjukkan sebarang simptom (silent carrier).

Pengurus Selangor Health Care (SelCare), Mohd Noor Md Nasir, berkata kumpulan berkenaan disifatkan sebagai ‘pembawa senyap’ virus COVID-19 kerana tidak menunjukkan gejala tetapi dikesan positif menerusi ujian saringan yang dijalankan.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-ujian-saringan-besarbesaran-3342-individu-mungkin-positif-mb-selangor-302840