Kerajaan Negeri Melaka tidak mampu untuk beri ‘bonus’ raya tahun ini

Kerajaan Negeri Melaka tidak mampu untuk beri ‘bonus’ raya tahun ini

Kedudukan kewangan negeri yang menyusut menyebabkan kerajaan negeri menangguhkan pembayaran bantuan khas kewangan kepada penjawat awam serta pesara kerajaan di negeri itu sempena Aidilfitri, tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata faktor penularan wabak COVID-19 yang menghalang kemasukan pelaburan asing ke negeri itu turut mempengaruhi keputusan kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, Melaka tidak seperti beberapa negeri yang mempunyai sumber kewangan kukuh seperti Selangor dan Sabah yang mampu menyalurkan bantuan sehingga setengah bulan bayaran bantuan khas Aidilfitri.

“Sebelum ini kita menyalurkan sumbangan sekali bayaran kepada mereka, termasuk pembayaran khas setengah bulan gaji, namun kali ini kita tak dapat buat pembayaran.

“Kita tiada hasil yang banyak, saya khuatir kalau berjanji nak beri tapi tak dapat tunaikan. Elok awal-awal saya kata tiada bonus (pembayaran khas) tahun ini.

“Akan tetapi jika ada rezeki menjelang Aidilfitri nanti, kita akan beri. Buat masa ini tiada,” katanya selepas merasmikan Bazar Ramadan Mega 2021 peringkat negeri di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.

Yang turut hadir, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan; EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman.

Melaka mempunyai seramai 7,500 penjawat awam membabitkan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), anak syarikat, badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Khamis lalu, kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah serta RM250 kepada pesara kerajaan.

Sementara itu, Sulaiman berkata, kerajaan negeri membenarkan bazar Ramadan beroperasi sehingga jam 2 pagi bermula malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pengoperasian itu boleh dibatalkan pada bila-bila masa jika terdapat peningkatan wabak COVID-19 dalam kawasan tertentu,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/810482/tiada-bonus-raya-untuk-penjawat-awam-pesara-di-melaka