Kerajaan negeri telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua hari lepas berhubung beberapa isu penyelewengan membabitkan Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH).
Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee berkata laporan berkenaan dibuat susulan satu audit khas yang dibuat pada 19 Feb.
Katanya beliau sendiri bersama Ketua Pegawai Eksekutif MICTH, Ahmad Mohammad Zainal telah membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh dan SPRM Melaka dua hari lepas.
“Daripada laporan audit khas itu beberapa perkara memerlukan siasatan lebih lanjut daripada pihak polis dan SPRM, antaranya ialah pemberian surat lantikan atau ‘Letter of award’ kepada beberapa syarikat kontraktor tanpa pengetahuan dan kelulusan oleh ahli lembaga pengarah terlebih dahulu.
“Selain itu juga turut berlaku transaksi e-banking atau online transfer tanpa kelulusan yang bercanggah dengan prosedur syarikat dan bank,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kerk berkata siasatan itu berkemungkinan akan menjejaskan operasi syarikat terutama dalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini.
Beliau berkata syarikat turut menjalankan siasatan dalaman dan menyerahkan kepada pihak polis serta SPRM untuk tindakan lanjut.
“Kita telah mengambil tindakan mengantung kerja dua orang pegawai kanan MICTH hampir dua minggu sementara proses siasatan dijalankan,” katanya.