Kerajaan mulakan proses jadikan pendatang asing tanpa izin sebagai pekerja sah bermula November

Kerajaan mulakan proses jadikan pendatang asing tanpa izin sebagai pekerja sah bermula November

Pelan Rekalibrasi pendatang asing tanpa izin (PATI) akan dilaksanakan bermula 16 November hingga 30 Jun 2021.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia diadakan Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi-agensi Kerajaan lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.

Jelasnya, semua pendatang asing tanpa izin dan majikan yang berhasrat untuk menyertai Program Rekalibrasi Pulang atau Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di bawah Pelan Rekalibrasi PATI perlu berurusan secara terus dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Manusia.

“Program Rekalibrasi Pulang merupakan program yang membenarkan PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

“Manakala Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula merupakan suatu program khas untuk meregularisasikan PATI di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan yang layak,” katanya semasa sidang media selepas Taklimat Pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu katanya, kerajaan dijangka memperolehi kutipan hasil sebanyak RM90 juta daripada kompaun serta bayaran-bayaran lain yang dikenakan terhadap PATI dan majikan dari pelaksanaan pelan berkenaan.

Sementara itu jelasnya, penawaran program tenaga kerja kepada PATI sedia ada di negara ini tidak menggugat pasaran serta peluang pekerjaan di kalangan rakyat.

Malah tegasnya, peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan adalah terjamin tertakluk kepada dasar penetapan nisbah pekerja tempatan dan pekerja asing yang berkuatkuasa ketika ini.

“Buat masa ini, hanya majikan yang beroperasi dalam empat sektor yang bersifat 3D iaitu dangerous, difficult dan dirty dibenarkan untuk mengambil PATI sebagai pekerja dalam tempoh pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI.

“Empat sektor berkenaan adalah; sektor pembinaan; sektor perkilangan; sektor perladangan; dan sektor pertanian,” jelasnya

Katanya lagi, pembekuan kemasukan pekerja asing baharu ke Malaysia akan diteruskan.

Hamzah turut mengingatkan, Jabatan Imigresen Malaysia akan melaksanakan sepenuhnya Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI iaitu operasi penguatkuasaan secara besar-besaran selepas tempoh pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI pada 30 Jun 2021.

“Sekiranya disabitkan bersalah, majikan yang didapati menggajikan PATI akan dikenakan hukuman yang maksimum iaitu denda sebanyak RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang pekerja yang diambil.

“Bagi majikan yang menggajikan lebih daripada lima orang, majikan akan dikenakan hukuman sebat,” tegasnya.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pelan-rekalibrasi-pati-mula-16-november-hingga-30-jun-2021-hamzah-268066