Kerajaan Mandat rakyat adalah bila PH jadi tonggaknya – Husam

Bekas Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa menegaskan usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan Perikatan Nasional (PN) ialah memulangkan semula kerajaan kepada parti yang diberi mandat oleh rakyat iaitu Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, PH pada masa ini mempunyai 92 kerusi Parlimen berbanding kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang mempunyai majoriti sangat tipis.

“Kalau kita boleh pulangkan kembali mandat kepada parti yang diberi mandat oleh rakyat dengan bilangan ahli Parlimen dalam PH secara en bloc yang terbesar, PH boleh menjadi tonggak.

“Bila ada ‘anchor’ yang kuat barulah kestabilan wujud. Kalau tiada ‘anchor’ macam sekarang maka macam bumi tiada gunung, bergoyang ke hulu dan ke hilir juga ke sana ke sini macam Tan Sri Muhyiddin pernah sebut,” katanya menerusi GHB Media TV malam tadi.

Dalam dialog Malaysia Baharu itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Kelantan berkenaan berkata, ketidakstabilan politik mulai berlaku apabila Muhyiddin dan rakan-rakannya telah merampas kuasa yang diberikan mandat oleh rakyat kepada PH.

“Dalam keadaan majoriti yang kecil ini pula, sebenarnya politik di negara kita, yang kecil menguasai yang besar.

“Masa PH dulu pun parti Bersatu yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir, ia (Bersatu) hanya ada 13 kerusi Parlimen tetapi ia menjadi ketua kerajaan dan mendominasi kerajaan.

“Masa itu okeylah sebab kita bersangka baik kepada Tun Mahathir, persetujuan telah dijalin, persefahaman telah wujud dan ia juga parti dalam gabungan PH,” katanya.

Sehubungan itu, Husam menegaskan masalah ketidakstabilan politik di negara ini berlaku apabila parti yang lebih kecil menunggang parti yang lebih besar.

“Rasa tidak selesa itu wujud dan berlaku ketidakstabilan politik dan ada usaha-usaha untuk membetulkan semula keadaan,” katanya.

Selain usaha Anwar dalam membetulkan ketidakstabilan politik semasa, beliau berpendapat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga berbuat langkah sama mernerusi usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Husam berkata, tindakan Razaleigh atau Ku Li itu mempunyai implikasi yang besar memandangkan tokoh tersebut adalah ahli Parlimen Umno.

“Sokongan ahli Parlimen Umno dengan dua majoriti. Patutlah negara tidak stabil. Kalau bemar tidak main politik, elok benar dia (Muhyiddin) letak jawatan.

“Beri kepada PH untuk ambil semula kerajaan supaya kita tidak payah main politik,” tambah Husam lagi.

Untuk rekod, menerusi sepucuk surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 25 September lalu, Ku Li mendakwa Muhyiddin telah dua kali menolak usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri untuk dibahaskan.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/anwar-berusaha-betulkan-politik-yang-macam-bumi-tiada-gunung-kata-husam/

COMMENTS

Wordpress (0)