Kerajaan Malaysia Beli Hotel TH Yang Rugi Demi Masa depan TH

Kerajaan Malaysia terus komited untuk membantu memulihkan Tabung Haji yang mengalami masalah kewangan yang sangat serius akibat salah tadbir urus oleh Kerajaan Barisan nasional sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, penstrukturan semula dan pemulihan telah dilaksanakan bertujuan bagi mengimbangi semula kedudukan kewangan TH. Aset-aset yang mengalami kerugian dan kurang memberi keuntungan telah dipindahkan kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB), iaitu sebuah syarikat bertujuan khas (SPV), milik penuh Kerajaan Malaysia. Langkah ini bagi membolehkan jurang defisit dapat ditutup dan seterusnya memulihkan kedudukan kewangan TH.

Menurut seorang pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri; suntikan dana bersih sejumlah RM17.8 bilion ke dalam TH akan dibiayai oleh Kerajaan dalam tempoh 10 tahun, iaitu dari tahun 2020 sehingga tahun 2030.

“Segala urusan perniagaan TH sekarang ini diikuti rapat oleh Bank Negara Malaysia sebagai penguatkuasa peraturan bagi memastikan segala piawaian standard professionalisme dipenuhi. Antara kriteria yang diambil kira dalam penjualan aset ini adalah aset-aset berkenaan mengalami kerugian bereterusan, aset-aset pelaburan yang kurang berdaya saing dan mengalami kejatuhan nilai melebihi 20% dari nilai buku; dan aset-aset yang memberi pulangan yang rendah kurang dari 2% setahun” ujar beliau.

Ketika ditanya mengenai penjualan beberapa hotel milik TH sebagaimana surat sulit yang bocor dan diviralkan beliau berkata kesemua hotel berkenaan termasuk dalam senarai aset dipindah di bawah SPV milik Kerajaan sejak hujung tahun 2018 dan bukannya penjuakan baru.

“Kesemua ini telah dijawab oleh Menteri di Parlimen pada sidang parlimen bertarikh 1/4/2019 yang lalu. Senarai lengkap aset yang terlibat juga sudah didedahkan kepada semua ahli parlimen sebelum ini. Kerajaan tidak menyembunyikan apa-apa dalam hal ini. Malah saya difahamkan empat hotel Tabung Haji tidaklah terus diberhentikan seperti yang difitnah oleh pembangkang. Hotel-hotel yang disebutkan itu akan terus beroperasi di bawah pengurusan SPV milik kerajaan iaitu Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) dan kebanyakan daripada kakitangan ditawarkan untuk terus bekerja dibawah pengurusan baru. Bakinya ada yang ditawarkan jawatan lain di Hotel milik TH di lokasi lain. SSS yang ditawarkan pula adalah sebagai tanda perpisahan mereka dengan TH dan mereka boleh memilih untuk terus kekal dengan Hotel berkenaan tapi dibawah pengurusan baru” Ujar beliau.