Kerajaan lancar ‘Ops Patuh’ besar-besaran mulai Khamis

Kerajaan lancar ‘Ops Patuh’ besar-besaran mulai Khamis

Kerajaan akan melaksanakan Ops Patuh secara bersepadu melibatkan 21 kementerian dan secara besar-besaran di seluruh negara selama sekurang-kurangnya empat hari bermula lusa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, operasi memastikan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilakukan secara menyeluruh melibatkan pemeriksaan di premis perniagaan, kilang, tapak pembinaan dan sekatan jalan raya.

Beliau berkata, Ops Patuh secara bersepadu dan besar-besaran tersebut merupakan pendekatan bagi menurunkan kes positif Covid-19 yang kini statik berada pada kadar lebih 5,000 setiap hari setelah sekian lama.

“Bersedialah, kompaun (pelanggaran SOP PKP) yang akan dikenakan (pada Ops Patuh bersepadu) adalah maksimum.

“Kita akan koordinasi (agensi kerajaan) di seluruh negara menerusi pemeriksaan mengejut, sekatan jalan raya (kekal dan bergerak) dan penggunaan aset sedia ada seperti helikopter dan dron secara serentak sepanjang operasi tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.

Hamzah berkata, sebagai persiapan operasi tersebut, beliau telah meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan semakan status jenis perniagaan yang telah membuat permohonan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP penuh ini.

Jelas beliau, ia sebagai mengesan penipuan dilakukan segelintir pengilang yang mendakwa kononnya sebagai perkhidmatan perlu sedangkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan sebaliknya.

“Semua PBT (pihak berkuasa tempatan) di seluruh negara akan diarahkan melakukan pemeriksaan mengejut (di premis perniagaan dan kilang). Selain itu, semua 154 Ketua Polis Daerah juga akan diberi KPI (indeks prestasi utama) bagi menjayakan Ops Patuh bersepadu ini,” katanya.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/06/29/ops-patuh-bersepadu-besar-besaran-mulai-khamis-ini/

BACA JUGA : Adun BN kemalangan, kenderaan terbalik