Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr. Mujahid Bin Yusof berkata adalah tidak benar tiada usaha untuk penambahbaikan kepada Mahkamah Syariah di bawah Malaysia Baru. Malah, pada masa ini Kerajaan sedang meneliti aspek memperkasa Mahkamah Syariah secara menyeluruh.
Ini adalah meliputi pengharmonian antara undang-undang Syariah dan sivil, peningkatan kompetensi Hakim dan Pendakwa Syarie, peningkatan tadbir urus dan menaiktaraf prasarana Mahkamah Syariah. Selain itu, Kerajaan turut memberikan penekanan kepada kajian dan semakan semula undang-undang sedia ada.
Beliau juga menyebut antara pembaharuan-pembaharuan yang sedang dilaksanakan di Mahkamah Syariah adalah seperti berikut:-
1. Menaiktaraf sistem E-Syariah kepada sistem E-Syariah versi 3 untuk penambahbaikan pengurusan pendaftaran kes-kes di Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia dan meningkatkan lagi kecekapan penyampaian melalui transformasi sistem E-Syariah.
2. Pembangunan Kompleks Mahkamah Syariah baharu yang sedang dalam proses pembinaan di negeri Pahang dan Sabah. Manakala kompleks Mahkamah Syariah baharu yang telah siap dibina oleh kerajaan adalah di negeri Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka dan terkini di Pulau Pinang;
3. Meningkatkan tahap kecekapan penyelesaian kes-kes dan mengelakkan daripada berlaku kes tertunggak dan lambat diselesaikan di Mahkamah Syariah. Pendekatan ini telah dilakukan melalui beberapa program inovasi di Mahkamah Syariah negeri-negeri antaranya seperti berikut :
3.1. Projek proses Kerja Kes Cerai Fast Track yang dilaksanakan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor. Projek ini dilaksanakan bagi mempercepatkan Penyelesaian Kes Perceraian di bawah seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (EUKIS) daripada 90 hari ke 6 jam waktu bekerja.
3.2. Sistem Mysolve yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak. Sistem tersebut merupakan Pendaftaran Online bagi kes perceraian Seksyen 47 dan Pengesahan Lafaz Cerai Seksyen 57 di bawah Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004. Setelah pendaftaran tersebut dilakukan, pihak mahkamah dalam tempoh 3 hari akan menetapkan tarikh pendengaran kes tersebut dihadapan Hakim untuk diselesaikan pada hari yang sama.
3.3. Sistem E-SIAP (E-Shariah Instant Access Procedure) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang bagi mempercepatkan penyelesaian kes-kes persetujuan bersama dalam tempoh masa cuma 1 hari, iaitu bermula dari proses penyediaan pliding sehingga pengeluaran perintah Mahkamah.
3.4. Sistem MyReCourt yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah. Sistem tersebut yang baru dilancarkan pada 1 Ogos 2018 dibangunkan sebagai salah satu alternatif proses penyediaan dokumen pendaftaran kes bagi Jabatan Kehakiman Syariah Kedah. Ia bertujuan untuk membantu para pelanggan yang hadir ke mahkamah Syariah semasa membuat pendaftaran kes.
4. Meningkatkan program latihan dan peluang melanjutkan pengajian bagi melahirkan Pegawai Syariah yang berkompetensi tinggi, mempunyai kemahiran pelbagai (multi skill) dan mampu meningkatkan lagi sistem penyampaian kepada masyarakat;
5. Menetapkan petunjuk aras bagi penyelesaian kes-kes rayuan Syariah dalam tempoh 6 bulan daripada mula kes didaftarkan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kepada negeri-negeri yang mengunakan khidmat panel Hakim Rayuan Syariah daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Hal ini dapat mempercepatkan lagi penyelesaian kes-kes rayuan di Mahkamah Syariah dan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan pengurusan kes rayuan Syariah; dan
6. Pengambilan Pegawai Syariah yang berkemahiran tinggi dan mempunyai kompetensi yang terbaik (best talent) untuk Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Mahkamah Syariah.
Selain daripada itu, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut memberikan penekanan kepada kajian dan semakan semula undang-undang sedia ada bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan dan manfaat. Dalam hal ini, “ “Kerajaan juga akan mengambil kira keperluan untuk mengubal undang-undang baru bagi menangani lakuna dalam perundangan semasa” ujar beliau.
“Dalam proses mengkaji dan menyemak undang-undang tersebut, praktis yang diamalkan akan diteruskan iaitu mengambil kira pandangan-pandangan dan cadangan-cadangan daripada pelbagai pihak seperti agensi-agensi kerajaan yang lain, institusi-institusi pendidikan dan pihak-pihak yang berkenaan. Hasil kajian dan semakan tersebut akan diteliti secara terperinci dan holistik oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil sebelum sesuatu undang-undang itu dipinda atau digubal” tambah beliau lagi.