Kerajaan Kelantan tiada kuasa untuk campurtangan isu kompaun RM50,000, kata Exco

Kerajaan Kelantan tiada kuasa untuk campurtangan isu kompaun RM50,000, kata Exco

Kerajaan negeri Kelantan tidak boleh mencampuri urusan dalam penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa termasuk kompaun yang dikeluarkan ke atas individu individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata segala peraturan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pihak (Kementerian) Kesihatan dan PDRM yang melaksanakan penguatkuasaan berdasarkan Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Jelasnya, akta berkenaan ada menyatakan bahawa kompaun maksimum yang dikenakan ke atas seseorang individu ialah RM10,000 manakala bagi syarikat pula ialah RM50,000.

Namun, katanya ia mestilah mempunyai panduan dan kategori kesalahan dengan kompaun tertentu di mana panduan berkenaan ada pada pihak polis dan pihak KKM.

“Persoalan sekarang bukan kerajaan negeri, kita sekarang dalam Ordinan Darurat dan negara ditadbir bawah MKN dan punca kuasa dari MKN terus ke jawtankuasa kecil keselamatan negeri, jadi kita hanya jalankan keputusan yang dibuat oleh MKN,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan tiga peniaga membabitkan peniaga burger, colek dan peniaga kedai runcit dikenakan kompaun 50,000 ringgit kerana didakwa berniaga melebihi masa yang dihadkan.

Katanya, Kelantan masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang mana had operasi kedai makan dan premis perniagaan hanya sehingga jam 10 malam.

Beliau juga mengingatkan rakyat Kelantan supaya mematuhi SOP kerana kes COVID-19 masih mencatatkan angka yang tinggi manakala kadar kebolehjangkitan di negeri ini juga tinggi.

Katanya kerajaan Kelantan banyak menerima rayuan rakyat supaya dilonggarkan sektor ekonomi, namun keputusan yang dibuat adalah dari MKN.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kompaun-rm50000-kerajaan-kelantan-tiada-kuasa-campur-tangan-exco-295519