Kerajaan Kelantan kena saman dengan orang asli kerana ceroboh tanah

Tiga lelaki yang mewakili penduduk perkampungan Orang Asli Kampung Kelaik di Gua Musang, memfailkan saman terhadap 14 entiti termasuk kerajaan negeri Kelantan atas dakwaan melakukan pencerobohan tanah pusaka milik mereka bagi menjalankan aktiviti perlombongan, pembalakan dan perladangan.

Saman itu difailkan oleh Ahak Uda; 54, Aziz Angah; 33, dan Anjang Uda; 30, selaku plaintif, menerusi Tetuan Raj & Sach secara e-pemfailan, di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Pihak media memperoleh dokumen itu hari ini daripada peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal, yang mewakili ketiga-tiga plaintif semasa sidang media di Kompleks Mahkamah Tinggi.

Ketiga-tiga plaintif itu menamakan Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd; Redstar Capital Sdn Bhd; Aqua Orion Sdn Bhd; Damai Corporate Services Sdn Bhd; Sindiyan Sdn Bhd dan Sindiyan Agro Park Sdn Bhd sebagai defenden pertama hingga keenam.

Selain itu, Ladang Kelantan Sdn Bhd; Ikrar Bumi Sdn Bhd; Ladang Ulu Nenggiri Sdn Bhd; Iliasco Engineering & Construction Sdn Bhd; Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan kerajaan negeri Kelantan turut dinamakan sebagai defendan ketujuh hingga ke-14.

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa semua defendan menceroboh tanah pusaka milik mereka dengan menjalankan kegiatan perlombongan, pembalakan dan perladangan kelapa sawit serta ladang getah yang menyebabkan kehidupan harian penduduk di kawasan itu terjejas.

Aktiviti yang dijalankan oleh semua defendan menyebabkan kerosakan teruk terhadap tanaman Orang Asli Kampung Kelaik akibat trak dan kenderaan besar yang dimiliki atau diuruskan oleh defendan yang memasuki tanah pusaka mereka. Mereka turut mendakwa pencemaran sungai berlaku mengakibatkan kehilangan sumber air utama penduduk di kawasan terbabit.

Oleh itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa Orang Asli Kampung Kelaik adalah pemegang hak milik adat tanah nenek moyang selain menuntut deklarasi bahawa pengeluaran lesen atau kebenaran kepada defendan pertama sehingga ke-10 adalah bertentangan dengan undang-undang dan ia tidak sah serta terbatal.

Plaintif juga memohon kepada mahkamah agar mengeluarkan perintah bahawa tindakan defendan pertama sehingga ke-10 yang memasuki tanah nenek moyang mereka sebagai suatu pencerobohan dan memohon injunksi bagi menghalang defendan pertama hingga ke-10 daripada menjalankan aktiviti pembalakan, atau apa-apa aktiviti komersial untuk keuntungan di atas tanah pusaka itu.

Turut dimohon, ganti rugi am, teruk dan teladan, kos, faedah dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/11/ceroboh-tanah-pusaka-orang-asli-kg-kelaik-saman-kerajaan-kelantan/

COMMENTS

Wordpress (0)