Kerajaan dijangka umum keputusan PKP penuh harini

Kerajaan dijangka umum keputusan PKP penuh harini

Hari ini akan menjadi penentuan sama ada negara akan kembali melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara penuh.

Keputusan mengenainya dijangka dicapai pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 di Putrajaya jam 3 petang ini.

Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Keutamaan mesyuarat itu akan terarah kepada sama ada negara akan kembali kepada pelaksanaan PKP penuh susulan peningkatan kes melebihi 6,000 selama dua hari berturut-turut sejak Rabu.

Semalam, media tempatan melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan pusat melihat penularan COVID-19 sebagai sesuatu yang amat serius.

Berdasarkan statistik, jumlah kumulatif kes positif di negara ini sudah hampir setengah juta, katanya.

Angka kematian pula, kini melebihi 2,000, dan ia perkara yang amat membimbangkan.

Negara mencatatkan 6,806 kes baharu COVID-19 semalam, tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik melanda negara, disertai rekod kematian, juga tertinggi, iaitu sebanyak 59.

Keadaan diburukkan lagi dengan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di beberapa negeri dan wilayah yang mencapai kapasiti lebih 90 peratus.

Malah, di Kedah, pesakit kronik yang dianggap tiada harapan untuk sembuh tidak lagi ditempatkan di ICU hospital di negeri itu berikutan jumlah katil sangat terhad.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, walaupun jumlah katil di ICU masih mencukupi, pihaknya bimbang jika pesakit kritikal lain tidak dapat dimasukkan ke ICU yang kini dipenuhi pesakit COVID-19.

Katanya, pegawai perubatan terpaksa membuat penilaian cukup berat dalam memilih antara pesakit kritikal dan pesakit COVID-19 yang perlu dimasukkan segera ke ICU.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menyatakan petugas kesihatan yang menjadi benteng utama sistem kesihatan negara juga berada dalam keadaan keletihan akibat pandemik yang berpanjangan.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pelaksanaan-pkp-penuh-dijangka-ditentukan-hari-ini-299037